Hakikatnya, wanita bertudung berubah seiring dengan masa. Saban hari, butik-butik Muslimah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing berlumba-lumba menampilkan konsep fesyen terkini dan moden tanpa menjejaskan penampilan yang sopan.

Bagi golongan wanita muda, mereka gemar memakai selendang kerana bebas digayakan mengikut cita rasa sendiri. Bukan itu sahaja, bagi memastikan penampilan mereka sentiasa kelihatan segar dan ceria, bahagian kepala diberi tumpuan. Lazimnya, mereka akan padankan dengan tudung polos pelbagai warna.

Terdapat pelbagai saiz selendang di pasaran seperti selendang panjang dan skaf segi empat sama. Memandangkan ramai yang tidak gemarkan corak yang terlalu sarat, maka tudung polos adalah salah satu cara menyerikan penampilan selain memakai aksesori nuansa terang.

Menyedari terdapat permintaan besar terhadap pakaian Muslimah, Umma di bawah Dimensi Moda Sdn. Bhd., menawarkan rangkaian eksklusif gaya bertudung termasuk selendang, anak tudung dan ban (sanggul rambut). Dalam pada itu,

Umma turut merancang untuk mengeluarkan busana dengan rekaan terkini dan menawan untuk gaya kasual dan ke pejabat.

Menurut pengasas Umma, Zairin Zainul Azman, wanita bertudung tidak lagi terhad pada pemakaian tudung bawal semata-mata sebaliknya, semakin menyerlah dengan tudung siap pakai yang diperbuat daripada kain likra, selendang satin atau selendang kain kapas. Umma menawarkan selendang dua jenis iaitu selendang sahaja dan selendang sedia pakai yang dijahit bersama tudung dalam.

“Selendang warna terang yang semakin popular antara item fesyen yang wajib dimiliki oleh wanita bertudung khususnya golongan remaja. Namun begitu, remaja perlu meneliti sewaktu memilih selendang bercorak dan berwarna. Ia perlu bersesuaian dengan personaliti, lokasi dan majlis yang dihadiri,” katanya.