HAZELINA GHAZALI
HAZELINA GHAZALI

Dengan tarikan dan keunikan dimiliki membolehkan masyarakat dunia saling mengenali kelainan yang terdapat dalam kesenian dan budaya sesebuah negara.

Bagi menampilkan satu konsep baharu variasi persembahan tradisi dari pelbagai negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini meneruskan penganjuran World Art Festival (WAF) buat kali kedua yang diadakan di Dewan Canselor Tun

Abdul Razak (Dectar).

Program ini menampilkan pelbagai persembahan seni budaya tradisi yang eksklusif dan asli dari sembilan negara seperti Mexico, Kazakhstan, Jepun, Mozambique, Somalia, China, Filipina, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah.

Menurut Ketua Pusat Kebudayaan Universiti UKM, Hazelina Ghazaly, program bertaraf antarabangsa anjuran Artisukma, Pusat Kebudayaan, UKM dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia itu diadakan dengan pelbagai pengisian program seperti persembahan dan wacana silang budaya.

“Program yang berlangsung tiga hari bermula 17 November lalu itu bertujuan menyediakan platform bertukar fikiran dan pengalaman antara penggiat seni dalam kalangan peserta bagi mencari kesatuan serta kesefahaman melalui aktiviti seni dan budaya.

“Di samping itu, program ini memberi pendedahan, berfikiran terbuka dan menarik minat generasi muda, selain masyarakat untuk lebih menghargai seni dan budaya pelbagai negara,” katanya.

Menurutnya, delegasi kali ini turut mengadakan persembahan di pusat beli-belah IOI Mall sehari sebelum persembahan di Dectar sebagai salah satu strategi promosi sambutan program.

Turut hadir Presiden Pengasas Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang juga Felo Diraja UKM, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi , Prof. Datuk Ir. Riza Atiq Abdullah O.K. rahmat.

Tambah Hazelina, selaku penganjur projek, pihaknya berharap program ini dapat menjadi wadah dalam meraikan kepelbagaian budaya melalui penyampaian konsep persembahan seni bertaraf antarabangsa yang menjadi rujukan serantau pada masa akan datang.

“Kita juga berharap program ini dapat memantapkan jalinan hubungan rakan strategik dalam bidang seni budaya di peringkat antarabangsa,” katanya.