Mahu mengubah stigma penggayaan tudung bawal yang sering dikaitkan dengan fesyen lapuk, pengasasnya, Hanis Arif, mahu rekaan tudung bawal ciptaannya tidak ketinggalan mengikuti trend fesyen terkini.

“Melihat kepada trend pada tahun ini yang banyak menggunakan elemen bulu pada rekaan fesyen kebanyakan pereka-pereka terkenal tempatan dan antarabangsa, saya mengambil pendekatan untuk turut sama memperkenal elemen ini sebagai salah satu perincian glamor koleksi Tudung Ruffle Wonder Raya 2017.

“Dengan menggunakan bulu sintetik daripada burung unta, penampilan si pemakai pastinya lebih bergaya dan kelihatan berbeza.

“Selain itu, koleksi ini juga mengetengahkan perincian eksklusif batu-batu kristal Swarovski yang diimport khas dari Austria sebagai identiti baharu Tudung Ruffle,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Tudung Ruffle Wonder Raya 2017 di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sudah berada di pasaran sejak tiga tahun yang lalu dengan memperkenal rekaan berpotongan ropol pertama di negara ini, Hanis juga mengambil inspirasi daripada pelanggan-pelanggan yang sentiasa menyokong dan menghargai hasil kerjanya di Tudung Ruffle.

Untuk koleksi kali ini, dua rekaan tudung bawal ditawarkan iaitu bawal petak yang lebih konvensional dan bawal selendang iaitu tudung selendang menggunakan awning yang menjadi jualan terlaris jenama itu sejak diperkenal tahun lalu.

Memfokuskan pada warna-warna pastel dan gelap, Hanis mahu warna yang ditawarkan dapat dipadankan dengan busana mereka sama ada busana polos atau bercorak.

Katanya, pemilihan fabrik juga diambil kira kerana itulah jaminan kepada kualiti penghasilan tudung. Menggunakan fabrik jenis voile atau lebih dikenali sebagai bawal Jepun dalam kalangan penggiat fesyen, fabrik jenis ini memberi keselesaan dan terletak cantik pada kepada si pemakai.

Ujarnya, salah satu tudung yang digayakan model pada malam pelancaran tersebut mencecah nilai RM7,000 kerana bertatahkan batu kristal terbaik Swarovski.

Walaupun harganya mahal, Hanis sudah mendapat tempahan daripada pelanggannya yang mengagumi tudung bawal juga boleh dijadikan rekaan eksklusif dan sangat indah.

“Tidak kira digayakan untuk pemakaian harian, majlis formal, pertunangan atau pernikahan, amat mudah sebenarnya menggayakan rekaan ini kerana produk kami berasaskan tudung bawal,” katanya.

Bermula pada harga RM59, koleksi Tudung Ruffle Wonder Raya 2017 boleh dibeli di butik Tudung Ruffle yang terletak di Bangi Sentral, stokis-stokis sah Tudung Ruffle, butik vendor Modvier dan secara online di www.tudungruffle.com. - Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN/TUDUNG RUFFLE