Mengambil pengalaman hidupnya sendiri, pemilik jenama pakaian tempatan Aere, Raja Nadia Sabrina menterjemahkan jiwanya ke dalam rekaan koleksi rayanya iaitu Faith yang dipamerkan pada pertunjukan fesyen Gaya Koleksi Raya 2018, baru-baru ini.

Koleksi Faith bagi Raja Nadia merupakan refleksi kepada kepercayaan atau keyakinan dalam membuat keputusan yang besar sewaktu memilih untuk terjebak dalam dunia fesyen.

Dia yang juga Pengarah Kreatif Aere membuat keputusan untuk memulakan jenama Aere dengan meninggalkan kerjaya dalam bidang undang-undang atas dasar kepercayaan kepada pilihan hatinya itu.

Baginya, permulaannya ada timbul rasa kesangsian namun kepercayaannya itu mengajar dia untuk menjadi lebih kuat dan berani.

Perasaan itu diterjemahkan dengan pemilihan material yang unik dan rekaan tegas dalam kelembutan malah koleksi Faith mencerminkan kekuatan dan ketekunan wanita dalam menyampaikan apa yang dipercayai.

Variasi kain menghiasi setiap kepingan koleksi ini daripada cetakan geometrik direka khas, penggunaan material renda dan labuci serta fabirk tweed dan houndstooth yang menyuntik imej segar kepada pakaian tradisional.

Tidak lari dari nilai estetika dan rekaan identiti Aere, koleksi Faith mempamerkan kualiti unik Aere yang bukan saja versatil tetapi selesa dipakai.

Potongan sapu tangan yang klasik diperkenalkan pada rekaan yang dinamakan Raena Duo dengan penggunaan fabrik premium dari Jepun dengan corak houndstooth. Rekaan yang minimalis tetapi menonjol.

Fabrik tweed premium dari Jepun yang lebih sinonim dengan pakaian formal seperti kot dan jaket memberi aura elegan kepada rekaan Thea Tweed Duo.

Kolar yang diilhamkan daripada rekaan Victoria dengan perincian ropol yang rapi diganding dengan potongan lengan loceng menyerlahkan skirt dengan potongan kembang.

Untuk rekaan Lilly, ciri-cirinya yang versatil itu membuatkan ia boleh digayakan sepanjang tahun! Ciri-ciri utama penggunaan kain les Jepun premium dilengkapi lapisan sifon pada garis kelepet sempurna digayakan dengan kain untuk gaya tradisional atau seluar.

Selain itu, koleksi Faith turut tidak melupakan rekaan buat golongan lelaki dan kanak-kanak bagi melengkapkan gaya sedondon yang tidak tipikal pada pagi raya.

Untuk Aeremen, baju Melayu klasik dengan suntikan rekaan minimalis yang moden menggunakan material lembut, selesa dan memberi kesan yang menyejukkan. Perincian lipatan lisu yang kemas pada bahu dan bahagian lengan yang boleh laras memberi kelainan.

Koleksi Faith yang boleh didapati di butik Fashion Valet bermula RM199.90 hingga RM499.90 dan dijual secara set atau berasingan untuk menyuai-padan dengan helaian lain.

Sebelum ini, Aere turut sibuk mengembangkan jenama mereka ke peringkat global bermula dengan debut mereka di London Modest Fashion Week pada bulan Februari dan pertunjukan fesyen kedua mereka di Dubai Mac lalu di mana pelbagai koleksi Abaya dari koleksi Peace dilancarkan.

– RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM