Sebagai permulaan SBU memilih tema enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur. Menurut pemilik SBU, Noor Inora Putri Noorzainy, 27, pihaknya ingin membuat kelainan berbanding rekaan sedia ada di pasaran dengan mengetengahkan konsep kenegerian.

“Melalui pengamatan saya, setakat ini tiada lagi tema kenegerian diterapkan ke dalam corak tudung, maka ia merupakan waktu sesuai untuk mengeluarkan koleksi ini.

“Ia secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat kenegerian terutamanya kepada generasi muda malah menggalakkan mereka untuk mengambil tahu mengenai negeri-negeri lain yang ada di negara kita,” katanya ketika ditemui di Butik SBU, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai corak dan identiti yang diterapkan dalam tudung itu, Noor Inora Putri berkata, bagi tudung Kuala Lumpur, dia menggunakan corak landskap kota raya berkenaan pada waktu malam dengan meletakkan gambar ikon negara iaitu Bangunan Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Melaka pula, dicetuskan daripada corak tingkap rumah Baba Nyonya. Manakala Tudung Johor menggunakan identiti warna negeri itu iaitu merah dan biru gelap yang ditambah pula corak bintang.

“Pulau Pinang menggunakan dominasi rona biru dan bunga serta Jambatan Pulau Pinang yang merupakan identiti negeri tersebut. Rona kuning dan oren digunakan bagi menyerlahkan tudung Selangor selain orkid yang merupakan bunga ikonik bagi Shah Alam.

“Sementara itu, corak wau dan batik sudah tentu sesuai untuk menggambarkan keunikan Kelantan yang kaya dengan seni dan warisan,” katanya.

Tambah Noor Inora Putri, dia bersama kumpulan kreatifnya mengambil masa selama sebulan untuk mereka corak dan menyiapkan idea serta konsep agar benar-benar mencerminkan identiti negeri-negeri tersebut.

Sebab utama SBU menghasilkan tudung dari enam negeri tersebut kerana kebanyakan pelanggannya datang dari negeri-negeri itu.