Jubah paras buku lali dipakai dengan seluar panjang menjadi pilihan kerana sesuai untuk orang Asia. Seluar panjang getah bercerut di kaki lebih praktikal kerana boleh dipakai ketika mengerjakan solat tanpa mengenakan telekung.

Sementara itu, ramai yang memilih untuk berjubah seluar (jubah paras lutut) tetapi ia masih menampakkan bentuk kaki.

Terbaik, pilihlah jubah labuh yang longgar. Selain sesuai dipakai ketika solat, pakaian ini sesuai dipakai ketika berziarah.

Kini, jemaah umrah dan haji tidak perlu meniru imej Arab tetapi menampilkan cita rasa Malaysia ketika cuaca panas. Fabrik seperti satin dan likra mudah diurus kerana tidak perlu digosok dan selesa dipakai. Selain itu, fabrik polister turut diguna kerana ia tidak memerlukan penjagaan rapi.

Warna seperti putih, hitam dan samar menjadi pilihan bagi mengelak menarik perhatian orang lain. Bagi yang inginkan kelainan, mungkin boleh mencuba jubah bercorak sederhana. Selain boleh dipadankan dengan telekung, ia boleh dipakai ketika membeli-belah.

Malah, Muslimah boleh mengenakan telekung yang berbeza daripada lazim seperti warna putih. Warna yang lembut dengan corak sederhana menjadikan penampilan Muslimah lebih istimewa. Telekung daripada kain kapas dan sutera menjadi pilihan terkini.

Inilah kelebihan pusat sehenti kelengkapan umrah dan haji, Al-Kauthar Resources Sdn. Bhd. (Al-Kauthar).

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norliza Hayati Ahmad Shairuzi berkata, dalam program perluasan rangkaian outlet tersebut, syarikat bercadang untuk memberi tumpuan dalam 10 outlet baharu pada peringkat tiga tahun pertama ini.

“Setiap rangkaian itu merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kelengkapan keperluan untuk me­nunaikan umrah dan haji. Selain membeli-belah, pelanggan juga akan diberi pelbagai maklumat dan bimbingan mengenai barangan keperluan untuk menunaikan umrah dan haji kepada pelanggan mengikut bajet mereka.

“Saya akan pastikan setiap barangan yang ditawarkan adalah berkualiti yang mana syarikat memiliki perkhidmatan menjahit produk sendiri bagi memastikan ia bersesuaian memenuhi keperluan pelanggan,” ketanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan rangkaian baharu Al-Kauthar di Laman Seri Business Park, Seksyen 13 di sini baru-baru ini.