Melihat kepada perkembangan sekarang, koleksi yang ditampilkan pengusaha butik online dilihat masih menguasai fesyen ketika ini dengan rata-rata memfokuskan kepada busana Muslimah sedia dipakai (ready to wear) dan menawarkan harga yang berbaloi kepada pelanggan.

Tampil dengan koleksi yang boleh digayakan untuk ke mana sahaja sama ada majlis rasmi atau santai, rekaan daripada butik online, Geruaa Elegance tampak lebih ringkas namun tetap elegan dan mewah.

Memberi tumpuan kepada corak dan rekaan kontemporari tanpa mengabaikan gaya klasik, butik tersebut menggunakan fabrik-fabrik terkini yang menjadi pilihan wanita yang mengutamakan keselesaan.

Menurut salah seorang pemiliknya, Hadijah Ali, untuk koleksi Hari Raya 2018, pihaknya menampilkan dua rekaan, iaitu baju kurung Kedah dan jubah yang dipadankan dengan seluar.

Tambahnya, kedua-dua rekaan tersebut bukan sahaja sentiasa menjadi pilihan wanita hari ini, tetapi boleh digayakan sepanjang masa.

“Walaupun kami hanya menampilkan dua rekaan sahaja untuk koleksi hari raya nanti, tetapi kami telah memberikan nilai tambah yang membuatkan rekaan tersebut tampak moden dan elegan.

“Seperti rekaan baju kurung Kedah yang dinamakan Larissa, kami jahit renda bersulam di hujung lengan baju dan sebahagiannya turut dipadankan dengan kain panjang dengan potongan A.

“Untuk seleksi baju kurung Kedah ini, kami menawarkan pelbagai pilihan warna terang dengan penggunaan kain bercorak geometri, polos, dan juga bercorak kerawang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Geruaa Elegance Hari Raya 2018, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tumpuan kepada penggunaan renda yang lembut dan bercorak serta warna yang menawan menjadikan si pemakai tampil anggun dan bergaya.

Bagi mereka yang tercari-cari rekaan ranggi, jenama itu tidak ketinggalan menampilkan baju kurung Kedah dengan sentuhan moden.

Untuk rekaan ini, ciri-ciri baju kurung Kedah seperti potongan baju yang longgar dengan tangan lebar masih lagi dikekalkan, manakala kainnya pula diolah supaya tampak lebih moden serta mudah dipakai.

Rekaan ini bukan sahaja boleh digayakan remaja, bahkan mereka yang berbadan gempal kerana kainnya boleh diselaraskan mengikut saiz.

Satu lagi rekaan yang dihasilkan untuk hari raya tahun ini ialah jubah yang dipadankan bersama seluar, dinamakan Myra Exsclusive.

Rekaan asas jubah yang diberikan sentuhan moden seperti belahan di kedua-dua bahagian kiri dan kanan, membolehkan ia digayakan dengan seluar.

Pemilihan fabrik juga memainkan peranan. Sutera Vietnam polos pastinya pilihan tepat kerana si pemakai akan tampak elegan.

Tidak terhad kepada fabrik tersebut, turut jadi pilihan fabrik lembut dan ringan untuk koleksi kali ini seperti sifon dan sifon sutera. Harga yang ditawarkan adalah antara RM189 hingga RM389.