Percaya atau tidak, ianya langsung tiada kaitan dengan gaya penuh kemewahan, latar belakang akademik yang bagus, kedudukan atau pangkat yang tinggi untuk membuatkan seseorang itu nampak classy. Sebaliknya sangat berkait rapat dengan sikap seseorang, keazaman untuk berubah.

Anda mungkin teruja sebaik sahaja mendengar nama mereka yang bergelar selebriti, jutawan kosmetik dan produk kecantikan, selebriti Instagram, model popular mahupun penulis blog fesyen, tetapi mengapa bersikap rendah diri dan menidakkan keistimewaan yang anda miliki, sedangkan anda mampu untuk menjadi selebriti dengan cara tersendiri.

Dengan sedikit usaha dan ilmu, kenal pasti dan belajar apa yang terbaik untuk anda hari ini.

Jaga Bahasa

Nampak mudah dan biasa, tetapi sebenarnya sangat berkaitan dengan adab seseorang. Antara perkara yang sering menarik perhatian dan dinilai oleh kaum lelaki, adalah penggunaan bahasa. Walaupun segalanya kelihatan serba sempurna pada pandangan mata kasar, tetapi sebaik sahaja bahasa yang kurang enak didengari, imaginasi wanita yang serba sempurna dan classy itu tadi terus bertukar menjadi negatif.

Nada suara lembut dan penuh santun

Bukan sahaja bahasanya, bahkan wanita yang berpersonaliti classy ini, bijak menyusun atur setiap perkataan yang dilantun, dengan suara bernada lembut, tenang dan penuh santun.

Mengekalkan solekan yang sederhana tetapi menarik

Padankan penampilan dengan solekan yang sesuai dengan majlis, bertona natural dan sederhana. Warna bibir yang terang dan berani pula elok digayakan ketika majlis petang atau makan malam, tetapi tidak pada siang hari terutamanya jika melibatkan majlis atau mesyuarat rasmi.

Berjalan penuh keyakinan

Postur badan yang baik pasti membantu anda berdiri tegap, berjalan penuh keyakinan, malah bangga akan siapa anda hari ini. Cara anda berjalan dan membawa diri sebenarnya memberikan satu statement tentang ‘jenama’ anda yang positif. Jadi, fikirkan bagaimana anda harus berjalan penuh elegan dan anggun, dengan setiap langkah menyerlahkan personaliti, aura peribadi – menampilkan individu yang benar-benar classy.

Cara duduk

Saya gemar memerhatikan mereka, terutama wanita dalam bab ini. Di meja makan restoran, di dalam LRT, ketika bermesyuarat, ketika menghadiri seminar atau bengkel yang saya anjurkan, malah bagaimana hos atau tetamu jemputan sesebuah rancangan TV, duduk di tempat mereka.

Ia merupakan komunikasi bukan lisan yang memberikan anda secara langsung, mesej bahasa badan, perasaan dan mood mereka ketika itu. Bosan, teruja, bersahaja, takut, yakin dan sebagainya.

Malah, seorang wanita yang classy dan elegan itu tadi, tidak sesekali akan membiarkan mood mereka mengambil alih suasana dan persekitaran, sehingga turut menjejaskan orang ramai di sekeliling.

Ya, elakkan daripada menghempaskan badan ke atas tempat duduk dan perhatikan bagaimana pakaian ketika melabuhkan punggung, terutamanya jika anda ingin mengelakkan kainnya dari berkedut seribu, seperti kain jenis linen atau pakaian yang serba putih yang pasti amat senang kotor.

Dengan perlahan labuhkan badan, penuh anggun dan sopan. Lakukan secara serentak dan elegan tanpa perlu menghenyakkan badan seolah-olah menunjukkan keadaan emosi anda ketika itu.

Bergaya dengan pakaian, tudung menarik dan stail rambut terkini

Elakkan daripada memakai pakaian yang terlalu kasual – dari segi gaya, rekaan, corak, jenis fabrik dan hiasan. Tidak perlu juga pakaian berjenama dan bling-bling untuk dilihat bergaya demi menarik perhatian. Apa yang menjadi tarikan adalah kekemasan, well-fitted atau disuaipadankan mengikut siluet badan (di sini bukan bermaksud ketat tetapi cantik kemas bila dipandang). Ini salah satu strategi yang boleh anda praktikkan untuk meningkatkan rasa keyakinan dan tampil elegan tanpa perlu banyak berusaha. Pun begitu, jika anda tidak berhijab, jangan lupa memastikan gaya rambut dititikberatkan.

Aroma

Aroma yang baik dan berkualiti bukan sahaja memberi gambaran personaliti dan mood seseorang tetapi turut memberi impak kepada mereka di sekelilingnya. Tidak terlalu banyak dan terlampau kuat sehingga 100 meter di belakang pun masih boleh dapat dihidu. Kekalkan penggunaan aroma minyak wangi yang sesuai dengan personaliti tetapi biarlah ianya sekadar semburan sederhana untuk memberi kesan dan meninggalkan memori yang berkekalan kepada mereka yang bertemu anda ketika itu.

Pakaian dalam berkualiti

Secara jujurnya, saya cukup memahami bahawa masih ramai wanita yang agak malu-malu untuk berbicara tentang pakaian dalam yang sesuai mengikut kekurangan badan. Ya, sama ada besar di dada, di perut atau mungkin di pinggul. Sesungguhnya, pakaian dalam berkualiti dan sesuai boleh mempunyai kesan yang besar ke atas emosi dan perasaan anda.

Apabila anda sedar bahawa pakaian dalam tersebut mampu membuatkan anda rasa lebih berkeyakinan dan kelihatan hebat, sudah tentu anda tidak lagi berasa ragu-ragu dan kurang keyakinan untuk menyarungkan baju idaman dan bertemu orang ramai.

Percaya atau tidak, secara tidak langsung, ia mampu mengubah kepercayaan anda terhadap diri sendiri dan seterusnya mewujudkan rasa lebih bertanggungjawab untuk menyayangi diri sendiri.

Percaya anda wanita classy

Bukan syok sendiri, tapi ianya perlu untuk mempunyai daya keyakinan yang tinggi terhadap kelebihan yang anda miliki. Ramai yang gagal untuk menyayangi diri lantas mensabotaj imej secara tidak langsung, kerana kurangnya rasa percaya pada diri sendiri.

Pelbagai cara, seorang wanita boleh menonjolkan imej sopan dan elegan, tetapi sebaliknya banyak juga cara mereka menghancurkan imej mereka secara tidak sedar.

Kebanyakan masa terjadi kerana terlalu mengikut kawan, terlalu mengikut trend, dan mungkin kerana mahu dilihat 
up-to-date dengan fesyen semasa.

Ia bukan tentang apa yang anda suka, tetapi apa yang sesuai dengan anda. Khidmat runding imej akan memberikan panduan dan langkah-langkah yang perlu diambil, sekiranya anda ingin menjadi sebahagian dari wanita anggun dan classy ini.

Ia harus berkisar tentang mesej imej yang anda ingin tonjolkan dan bagaimana menguruskan persepsi orang ramai agar anda tampil sebagai sebuah jenama yang baik.