Amirul Halim sentiasa menjaga penampilan untuk nampak lebih berkeyakinan.
Amirul Halim sentiasa menjaga penampilan untuk nampak lebih berkeyakinan.

Membawa definisi lelaki berpenampilan menarik dengan gaya dan personaliti tersendiri, ada juga yang mengatakan tidak perlu menjadi ‘metroseksual’ untuk berada dalam keadaan rapi, kemas dan segak.

Berbicara mengenai hal ini, Amirul Halim, 26, mempunyai pandangan sendiri dengan menganggap penampilan menarik sebagai satu tuntutan supaya diri lebih berkeyakinan bersama khalayak ramai dan berasa selesa untuk didampingi.

“Bagi saya, seorang lelaki sama ada membawa gelaran metroseksual atau sebaliknya, masing-masing perlu sentiasa menjaga penampilan dan keperibadian.

“Seorang lelaki bukan sekadar perlu mementingkan penampilan dari segi luaran, malah dalaman juga harus seiring dengan peribadi terpuji.

“Bagi saya, tampil segak dan kemas penting kerana dari situ kita akan dinilai lebih-lebih jika baru pertama kali bertemu. Saya amat menitikberatkan soal ‘pandangan pertama’ terutama sekali dari segi cara berpakaian.

“Namun, setiap orang mempunyai karakter dan karismanya yang tersendiri yang akan dizahirkan dari segi penampilan dan cara kita membawa diri.

“Mungkin juga gaya hidup anak muda berjawatan tinggi sedikit sebanyak mempengaruhi gaya penampilan seseorang itu yang membawa kecenderungan kepada gaya metroseksual,” katanya.

Eksekutif perhubungan awam di sebuah syarikat terkenal itu mengakui, kerjaya yang disandang juga memainkan peranan penting untuk sentiasa berpenampilan kemas.

Begitupun kata Amirul, tidak perlu menjadi seorang yang terlalu fanatik terhadap fesyen dan berbelanja besar untuk bergaya.

Malah, sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai jenama fesyen mampu milik yang kebanyakannya berkonsepkan fesyen jalanan membolehkan sesiapa sahaja boleh bergaya hebat dan ada kelas.

Baginya, soal berbelanja untuk tampil menarik adalah hak individu, tetapi haruslah berbalik kepada status ekonomi masing-masing.

Berpegang kepada prinsip ukur baju di badan sendiri, Amirul akan memastikan dirinya berbelanja dengan baik dan teratur mengikut kemampuan dan keperluan.

“Saya berasal dari keluarga yang sentiasa mengamalkan gaya hidup bersederhana, namun sukakan fesyen. Saya tidak menjadikan jenama-jenama mewah sebagai batasan untuk bergaya.

“Sebaliknya, saya mempunyai cara tersendiri untuk bersifat lebih kreatif dalam memilih mana yang sesuai dengan personaliti dan imej saya.

“Jika memilih barangan berjenama, saya akan melihat kualiti yang ada pada rekaan dan cara penghasilan barangan tersebut sama ada berbaloi untuk dimiliki atau sebaliknya.

“Dalam kebanyakan masa, saya cenderung untuk tampil ringkas atau minimalis dan gemar mengenakan warna monokrom,” katanya yang tidak lokek berkongsi tip mudah untuk tampil segak pada bila-bila masa.

Tidak menetapkan sebarang peruntukan untuk berbelanja setiap bulan kerana dia seorang yang tidak berkira dengan diri sendiri.

Namun, dia hanya akan membeli busana baharu apabila berkenan dan merasakan perlu ada dalam almari pakaiannya.

Selain itu, dia juga tidak mengenakan mekap tetapi gemar mengumpul wangian, kerana ia melibatkan soal kebersihan diri.

Baginya, tidak enak sekiranya lelaki mempunyai bau badan yang tidak menyenangkan.

Malah, disebabkan terlalu menitikberatkan soal tersebut, Amirul akan memastikan dia sentiasa wangi termasuk mengenakan wangian ketika bermain bola sepak di padang.

Ditanya adakah lelaki akan meletakkan gelaran lelaki metroseksual sebagai penanda aras bahawa mereka sudah dilihat cukup sempurna, jawapan anak muda ini cukup mudah.

“Secara peribadi, metroseksual adalah gaya yang boleh meningkat personaliti seseorang dan saya rasakan adalah penting bagi lelaki untuk menjaga penampilan diri terutama mereka yang bekerja dalam sektor korporat.

“Saya juga tidak selesa apabila ramai menyamakan lelaki metroseksual sebagai lelaki lembut atau gay.

“Lihat sahaja pada mereka seperti David Beckham, Ryan Gosling, Zac Efron, John Legend dan George Clooney, adakah mereka lembut mahupun gay?

“Perubahan gaya hidup metroseksual bukanlah perlambangan seksualiti seseorang, tetapi ianya menerusi sikap dan perilaku,” katanya.