Impak 7 Saat

Fikirkan, bagaimana mudah dan cepatnya kita menilai seseorang saat pertemuan pertama bertemu pada majlis sosial, rundingan perniagaan mahupun ketika berjalan-jalan santai di sebuah pusat beli-belah pada hari minggu.

Adakah anda masih ingat setiap perkataan yang mereka katakan? Bagaimana lontaran intonasi suara mereka? Atau mungkinkah secara tepat anda masih boleh bayangkan, keseluruhan penampilan mereka pada hari tersebut? Cukup bergaya, kemas, harum dengan wangian, setiap inci penampilan ibarat dijaga rapi atau mungkinkah mereka tampil selekeh dengan tudung dan baju tidak bergosok, rambut ala kadar mungkin tidak sempat disikat, muka agak pucat tanpa sebarang solekan, gaya berjalan pula agak malas dan ibarat tiada keyakinan diri.

Apa yang menariknya, kesemua di atas boleh dikaitkan dengan kajian dijalankan oleh Profesor Albert Mehrabian, melalui hasil tulisan beliau Silent Messages, yang diterbitkan awal tahun 1971, di mana beliau merumuskan bahawa 55 peratus daripada bahasa badan (tingkah laku) dan visual penampilan juga 38 peratus daripada intonasi (bunyi) suara individu itu yang pertama diingati sebaik pertemuan sesingkat 7 saat pertama. Dan baki peratusan 7 peratus pula , dinilai melalui setiap perkataan yang kita gunakan.

Suka atau tidak, impak first impression sebanyak 93 peratus ini sebenarnya banyak merujuk dan dinilai berdasarkan kepada komunikasi bukan lisan seseorang individu.

Bagaimana dengan anda? Apakah tiga perkataan yang boleh anda rumuskan tentang keseluruhan imej anda hari ini? Sudahkah anda bersedia untuk melangkah ke tahun baharu dengan sentuhan imej yang lebih segar dan memberi impak ?

Membina jenama imej peribadi

Imej anda terbentuk daripada keseluruhan personaliti, sikap, tingkah laku, latar belakang akademik, kemahiran, pengalaman, dan nilai-nilai peribadi. Bagi membantu anda menonjol dalam pasaran atau persekitaran yang kompetitif, pastinya anda harus mengenali diri sendiri agar tampil lebih autentik dan unik menggunakan kekuatan kemahiran berkomunikasi, juga imej penampilan diri.

Melangkah ke tahun baharu Januari ini, pastinya ramai mahasiswa yang akan memasuki alam pekerjaan, ada pula yang mengimpikan kenaikan pangkat, yang kembali bekerja selepas bersalin atau yang mula berjinak-jinak dengan sektor perniagaan dan bidang keusahawanan. Apapun pilihan anda hari ini, siapa pun anda, jawatan, industri, latar belakang akademik dan pengalaman, mulakan langkah pertama dengan mengenal pasti visi, misi, objektif peribadi, matlamat dan nilai-nilai peribadi.

Mengenal pasti sweet-spot peribadi

Sweet-spot anda merupakan niche pasaran yang benar-benar unik hanya untuk anda. Jom kenal pasti

1.Kenapa ia penting untuk anda - dengan mengenal pasti tujuan atau misi kehidupan

2.Identiti peribadi – kenal pasti bakat, kemahiran, dan personaliti diri

3.Sasaran pasaran - kenal pasti individu, syarikat, yang anda ingin bekerjasama

4.Apa yang anda mampu tawarkan – kenal pasti idea atau ilmu yang boleh dikongsikan berdasarkan latar belakang akademik, kemahiran juga pengalaman lalu

Bolehkah anda kaitkan senarai di atas dengan senario menghadapi sesi temu duga kerja, atau proses kenaikan pangkat? Ia bukanlah sekadar wish-list yang boleh kita minta-minta dengan bakal majikan atau ketua pejabat, tetapi memerlukan anda berfikir dan bertindak dengan lebih bijak.

Ia merupakan sebahagian daripada proses penjenamaan imej peribadi. Ya, bunyinya agak serius dan tentunya penting untuk anda, jika anda benar-benar serius untuk melakukan perubahan dalam kehidupan.

Saya percaya, ramai antara pembaca di sini, yang sangat mengimpikan kejayaan karier dengan memiliki jawatan yang baik atau mempunyai perniagaan yang sukses.

Tetapi sayangnya, berapa ramai agaknya yang benar-benar mengambil inisiatif untuk berfikir sejenak dan membuat refleksi diri, tentang kelebihan dan kekurangan diri masing-masing.

Apakah antara jurang tersebut yang boleh diperbaik dan diperkukuh demi mempertingkat pembangunan sahsiah diri ?

Jawatan yang baik atau perniagaan yang sukses memberikan gambaran tahap kejayaan dan kekukuhan kewangan seseorang individu itu. Secara peribadi, saya tidak menganggap kejayaan itu sebagai memiliki harta kekayaan yang menggunung.

Sudah tentu maksud kejayaan ini sangat berbeza dari seseorang individu kepada individu yang lain, dan tentunya bukan hanya bertumpu kepada harta benda sahaja. Jadi, anda tidaklah begitu terkesan melihat kejayaan orang lain, sedangkan kejayaan itu sendiri sangat subjektif maksudnya.

Pun begitu, kita tidak boleh hanya duduk menunggu hasil, jika tiada langsung usaha ke arah itu. Dress for the job that you want, not for the job that you have.

1.Kenal pasti visi, misi, objektif kehidupan juga nilai peribadi itu tadi.

2.Buat carian di Google tentang bagaimana ikon yang berjaya, mungkin juga idola anda menonjolkan jenama peribadi mereka. Pastikan industri mereka sama dengan anda, sekurang-kurangnya agar visi, misi dan objektif tidak lari daripada fokus

3.Mulakan dengan menyenarai mesej imej yang anda ingin tonjolkan. Ia penting dan harus kongruen dengan nilai-nilai peribadi. Contohnya, seorang berpangkat eksekutif haruslah konsisten dengan kod pakaian yang lebih formal, bergaya klasik, tradisional, fabrik yang lebih tegap (firm fabric) dan dijahit lurus, warna yang menampilkan lebih kewibawaan (autoriti).

4.Melabur untuk diri sendiri – Jangan sesekali berasa rugi untuk melabur demi pembangunan sahsiah diri. Ia membantu bukan sahaja dari peningkatan keyakinan dan harga diri, walaupun nampak kecil, tetapi impak jangka masa panjangnya sangat menguntungkan.