Pengeluar jenama tersebut, Farah Tun Kamaruddin, memberitahu, antara elemen yang diketengahkan untuk setiap rekaan ialah poket dan butang yang membolehkan baju mudah dipakai dan ditanggalkan, rekaan mesra wuduk, selesa, tidak ketat, bertali pinggang dan sebagainya.

“Saya mahu rekaan yang dihasilkan sebagaimana yang saya inginkan iaitu keselesaan tetapi tetap tampil bergaya terutama pada Hari Raya Aidiladha nanti kerana fesyen yang di ketengahkan biarpun moden, tetapi mengikut ciri-ciri Muslimah,” katanya.

Dihasilkan dengan rekaan sendiri, Farah yang merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan perniagaan tetapi kini berjinak-jinak dalam bidang fesyen memberitahu, selain jumpsuit, fesyen lain Tunks.rtw ialah peplum, dress dan kardigan renda yang boleh disuai padan untuk digayakan.

Namun jelasnya, apa yang istimewa mengenai rekaannya, fesyen ini boleh dipakai bila-bila sahaja, sama ada ke majlis atau pejabat mahupun untuk bersantai, kerana rekaan ini tidak tertakluk dengan hanya satu konsep bagi dipakai untuk hari-hari istimewa dan perayaan sahaja.

“Rekaan seperti ini boleh disuai spadan dengan apa juga keadaan dan majlis kerana kesesuaiannya dengan setiap keadaan.

Menggunakan material yang selesa seperti balleoteli, iaitu fabrik seakan-akan sama dengan kain satin yang lebih sejuk ketika dipakai dan tidak berkedut, manakala jumpsuit menggunakan linen.

Banyak bermain dengan warna-warna terang dan polos, namun peplum dihiasi dengan labuci dan manik yang dapat menonjolkan rekaan.

“Saya memang menekankan konsep ringkas, klasik, sederahana tetapi moden dalam setiap rekaan,” katanya. - Rosmah Dain