Boleh dipadankan dengan mana-mana kasut, aksesori yang dipertaruhkan boleh dijadikan sebagai perincian tambahan kepada kasut rekaan polos yang biasanya digayakan sebagai kasut formal.

Pengasasnya, Nor Hidayah Hassan berkata, Cipela terkenal dengan perkhidmatan tempahan kasut mengikut rekaan dan corak yang dikehendaki pelanggan namun dia tetap mengutamakan rekaan kasut siap dipakai buatan tangan.

“Walaupun semakin banyak jenama kasut tempatan muncul di pasaran, saya menganggap ianya sebagai persaingan yang sihat kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri.

“Ini menjadikan kami lebih kreatif dan inovatif sebagai pengusaha kasut untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Cipela, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, signatur Cipela terletak pada penggunaan lapisan kulit kambing yang diselitkan dalam kebanyakan rekaan, manakala warna-warna fabrik yang digunakan juga terdiri daripada tona terang yang lebih menonjol.

Jenama tersebut mempunyai tiga koleksi utama iaitu kasut harian, kasut majlis makan malam, dan kasut pengantin.

Saksikan video penuh temu bual eksklusif bersama pengasas Cipela, Nor Hidayah Hassan. - UTUSAN ONLINE