Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SENTUHAN MEWAH ROZANA, FAIZ

Konsep perkahwinan mewah Reka Teemor pernah menjadi tular di laman media. 6
Konsep perkahwinan mewah Reka Teemor pernah menjadi tular di laman media.

Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang menjalinkan dua hati dan pastinya setiap pasangan mengimpikan majlis perkahwinan serba sempurna.

Bukan hanya pengantin dan keluarga, malah seluruh tetamu yang hadir diraikan dalam majlis yang bakal menjadi kenangan.

Sudah pasti bukan satu tugas mudah buat perunding dan perancang perkahwinan untuk merealisasikan impian mempelai agar majlis yang diadakan berjalan lancar, namun bagi Faiz Sabari, 45, dan Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff, 40, itu merupakan tugas hakiki mereka sejak 11 tahun lalu demi rasa kecintaan terhadap dunia hiasan dalaman dan pengurusan majlis bawah jenama Reka Teemor.

Menyebut sahaja Reka Teemor, perkara pertama yang terbayang di dalam fikiran sudah pasti majlis perkahwinan yang gilang-gemilang dengan konsep pelamin mewah dan memukau.

Boleh dikatakan, sentuhan magis jemari Faiz dan Rozana Mumtaz menjadi impian setiap bakal pengantin untuk mendapatkan perkhidmatan mereka. Namun harus diingatkan, Reka Teemor telah menetapkan tanda aras perniagaan mereka dengan memfokuskan perkhidmatan perkahwinan mewah.

Reka Teemor ketika ini merupakan antara perunding dan perancang perkahwinan terbaik di negara ini dengan menawarkan perkhidmatan berkelas tinggi di samping menampilkan ciri-ciri unik dalam kerja tangan mereka.

Jelasnya, jika satu masa dahulu, bidang perunding dan perancang perkahwinan mewah sering dipelopori bangsa asing, namun kini masyarakat berpeluang mendapatkan perkhidmatan perancang perkahwinan yang diusahakan orang tempatan dengan kualiti bertaraf lima bintang.

“Reka Teemor memang dikenali dengan jenama perancang perkahwinan mewah, malah kami tidak kisah jika orang mengatakan kami hanya memfokuskan golongan tertentu kerana Reka Teemor menawarkan perkhidmatan bukan biasa-biasa,” ujarnya.

Pernah dikecam netizen kerana majlis perkahwinan yang dikendalikan Reka Teemor dikatakan bernilai ratusan ribu ringgit, bagi Rozana Mumtaz tiada istilah takut dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Memang ketika majlis yang dikatakan mewah itu menjadi tular di laman media, saya agak tertekan, namun kami menjadikan perkara itu sebagai kekuatan untuk meneruskan kecintaan dan minat kami dalam bidang ini,” ujar ibu kepada Dhiya Batrisya Faiz, 11 tahun.

Bagi Faiz pula, mungkin ada yang menyifatkan perniagaan itu memudahkan mereka memperoleh pulangan yang besar, namun baginya apa yang lebih penting adalah berdepan dengan soal kepuasan pelanggan dan soal keuntungan akan datang kemudian.

Mengakui Reka Teemor sentiasa tampil dengan ilham dan rekaan yang kreatif serta berbeza, namun konsep yang dibawa tidak pernah meminggirkan elemen tradisional dan budaya Asia.

“Walaupun Reka Teemor telah lama berada dalam bidang ini, tetapi saya masih lagi belajar kerana trend majlis perkahwinan sentiasa berubah dan matlamat saya ingin menjadikan Reka Teemor sebagai trendsetter di Malaysia.

“Untuk menjadi seperti itu, kita memerlukan sokongan masyarakat agar nama Reka Teemor bukan sahaja gah di negara ini, malah ke peringkat antarabangsa,” jelasnya yang menyifatkan penganjuran majlis besar-besaran juga membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai.

 

Rumah Teemor bukti kejayaan

Berkesempatan menemui pasangan itu di kediaman mereka yang terletak di Rumah Teemor, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, tidak dinafikan minat yang mendalam Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz dalam dunia hiasan dalaman tidak sekadar pada kerjaya mereka.

Ini kerana, titik peluh mereka berbaloi apabila cinta pasangan ini terhadap Reka Teemor turut diterjemahkan pada mahligai yang tersergam indah hasil sentuhan pasangan itu seratus peratus.

Uniknya, rumah berkonsepkan moden klasik kolonial itu bukan sahaja dibina indah, malah apa yang penting kediaman itu merupakan tunjang utama dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

Menurut Faiz, tanah yang menempatkan Rumah Teemor itu telah dibeli sejak lebih 20 tahun oleh keluarganya yang turut menempatkan rumah ibu bapa, kakak dan abangnya di kawasan yang sama.

“Lima tahun lepas kami mula membina rumah ini sedikit demi sedikit, memandangkan untuk menyiapkan rumah ini memerlukan bajet yang tinggi. Tahun lepas, baharu kami duduki rumah ini dan istimewanya bahagian atas rumah dibina menggunakan sebahagian struktur rumah milik nenek saya yang dibawa dari Batu Pahat, Johor.

“Disebabkan sayang dengan rumah lama yang berusia lebih 70 tahun itu, kami bawa sebahagian kayu, pintu, tingkap dan lampu yang terdapat di rumah berkenaan dan pasangnya di tingkat atas Rumah Teemor,” jelasnya.

Bagi Rozana Mumtaz pula, Rumah Teemor menjadi lambang kejayaan mereka selain merupakan tempat berkumpul seluruh keluarga bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Bekerja dalam bidang ini sangat menguji kesabaran kerana berdepan dengan bermacam-macam kerenah pelanggan, jadi, masa bersama keluarga merupakan waktu yang paling menyeronokkan, malah melihat rumah ini menyedarkan kami tentang segala cabaran untuk berjaya hingga ke tahap ini.

“Apa yang penting, untuk berjaya, keberkatan dan doa daripada ibu bapa amat penting selain perlu kembali kepada landasan yang telah ditetapkan agama,” katanya.

 

‘Reka Teemor lambang cinta kami’

Menceritakan bagaimana boleh ‘terjebak’ dengan Reka Teemor, ujar Rozana Mumtaz Mohd. Ashraff semuanya bermula kerana minat yang mendalam terhadap kerja-kerja pengurusan majlis.

“Selepas tamat pengajian, saya mendapat tawaran kerja di universiti dan selama enam tahun di situ saya banyak melibatkan diri dalam dunia pengacara majlis. Kemudian saya bekerja di beberapa buah syarikat besar, di situ saya berjumpa dengan suami dan akhirnya kami mengikat tali perkahwinan pada 2004.

“Kelakarnya, majlis perkahwinan kami memang direka sendiri oleh Faiz yang ketika itu telah berjinak-jinak dalam bidang rekaan hiasan perkahwinan, namun majlis kami tidak semewah seperti yang kami buat pada pelanggan seperti ketika ini,” jelasnya.

Mengambil keputusan untuk serius dalam bidang berkenaan bersama suami selepas dua tahun berkahwin. Faiz dan Rozana Mumtaz membina empayar Reka Teemor sedikit demi sedikit.

Berbekalkan kepakaran Faiz dalam hiasan dalaman sementelah mempunyai kelulusan dalam bidang rekaan grafik dari sebuah universiti di New Zealand, manakala Rozana Mumtaz pula mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan majlis, pasangan ini berjaya membawa jenama berkenaan kepada pelanggan.

“Jika orang lain tidak membawa ‘kerja’ pulang ke rumah atau ketika bercuti bersama keluarga, tetapi kami tidak begitu kerana Reka Teemor adalah denyut nadi kami. Apa sahaja tentang Reka Teemor menjadi keutamaan.

“Kami bukan menjual produk tetapi ‘menjual’ keindahan seni budaya yang kita ada dalam setiap rekaan. Kita mahu masyarakat menghargai keindahan kehidupan dan bukannya hanya tentang wang semata-mata,” jelasnya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan