Menurut salah seorang pemilik butik, Diana Abd. Manaf, jenama tersebut terkenal dengan signatur jahitan bulu burung unta.

Dijahit pada bahagian lengan, ia menjadikan setiap rekaan nampak elegan serta klasik dengan sentuhan glamor.

“Untuk Aidilfitri tahun ini, Deir menampilkan rekaan yang diinspirasikan dari negara-negara seperti Maghribi, Perancis, dan Jaipur, India.

“Tahun ini kami memilih Jaipur kerana ia merupakan sebuah bandar warisan yang cukup terkenal dengan sejarah.

“Kami juga sepakat mengetengahkan tema pink city kerana bangunan-bangunan yang berwarna merah jambu di sana sangat cantik dan dari situ kami melihat warna terang cantik sekiranya digabungkan dalam pakaian,” ujarnya .

Menggabungkan idea rekaan bersama seorang lagi rakan kongsi, kedua-duanya sepakat untuk tampil dengan potongan tangan ala retro dan puff serta kain potongan A line, duyung, dan juga kembang.

Koleksi-koleksi ini yang merupakan pakaian sedia dipakai (RTW), menampilkan rekaan baju kurung dengan potongan longgar dan selesa selain bajunya tidak labuh, berada di atas paras lutut. – mariatul qatiah zakaria