Itu kata-kata seorang aktres terkenal Hollywood yang menyifatkan sepasang kasut bukan hanya sekadar melengkapkan gaya, malah memberi satu kuasa buat golongan wanita jika bijak memilih kasut yang ingin digayakan.

Bagi sesetengah individu, gaya mereka tidak dinilai hanya dengan memakai jenama popular, namun lebih menitikberatkan kualiti, keselesaan serta material yang dipilih untuk menghasilkan sepasang kasut yang digemari.

Mahu memberikan kepuasan dan jaminan keselesaan buat pelanggan, jenama kasut tempatan popular, Xalf yang lebih lima tahun dalam bidang pembuatan kasut, mahu menghargai wanita dengan rekaan kasut yang dibuat mengikut ukuran dan saiz kaki atau popular digelar sebagai bespoke.

Tidak hanya mengikut trend terkini dalam penghasilan kasut di pasaran, jenama itu mahu mengangkat teknik pembuatan kasut bespoke yang bukan sahaja menonjolkan ciri-ciri yang berbeza daripada produk di pasaran, malah menawarkan harga mampu milik.

Perubahan wanita yang mahukan kasut tidak hanya cantik luaran, malah menampilkan ciri-ciri keselesaan serta kualiti tinggi, mendorong jenama itu mengaplikasi kepakaran teknikal mereka.

Menurut Pengarah Kreatif Xalf, Alfred Hor, untuk menghasilkan sepasang kasut memerlukan proses yang panjang bermula daripada rekaan asas sehingga pemilihan material serta kemasan akhir.

Katanya, untuk peringkat permulaan, rekaan asas kasut yang ingin dibuat perlu ada biarpun ia kelihatan tidak penting.

Peringkat ini merupakan proses konsultasi mengumpul idea bagi menghasilkan kasut impian pelanggan.

Selain itu, aspek mengukur saiz kaki juga amat penting memandangkan setiap individu mempunyai ukuran dan bentuk berlainan, malah saiz di antara kaki dan kanan juga berbeza.

“Lazimnya kasut yang berada di pasaran dibuat sama saiz antara kaki kanan dan kiri, pun begitu untuk kasut bespoke kita akan mengukur saiz asal kaki pelanggan, justeru pelanggan akan mendapat kasut yang sangat selesa dipakai,” jelasnya.

Selepas memperoleh saiz kasut yang tepat, ukuran tersebut akan dilakar pada material yang dikehendaki pelanggan sama ada kulit lembut (suede), kulit berpaten atau kulit lembu.

Proses kemudian diteruskan dengan sesi pemotongan material yang merupakan antara segmen paling mencabar bagi mendapat ukuran paling tepat.

Potongan menjadi aspek paling mencabar dalam rekaan kasut bagi mengekalkan ketepatan dasar ketika memotong bahan mentah selain memastikan kualiti setara, potongan corak halus, begitu juga dengan setiap hirisan sewaktu proses pertembungan bahan material.

Pembentukan dan pemasangan bahagian komponen lain kasut seperti tapak tengah, luar dan dalam juga dititikberatkan agar proses padanan keseluruhannya menjadi tepat dan tidak mengganggu kerja-kerja kemasan akhir.

“Elemen paling penting adalah penyatuan antara permukaan atas kasut dengan tapak yang menjadi fokus utama menghasilkan kasut bespoke.

“Ini kerana bahagian tumit adalah titik di mana puncak kewanitaan pemakai benar-benar diserlahkan, selain perincian di atas permukaan kasut serta postur yang dihasilkan sebaik kasut disarung,” jelasnya.

Sementara itu pengasas Xalf, Xavier Mah, berkata, jenama tersebut mengutamakan penghasilan kasut yang sangat sesuai dengan saiz dan ukuran pelanggan di rantau ASEAN, yang mana gabungan kombinasi fizik dan ergonomik membantu memberi postur wanita lebih menyerlah.

Seleksi kasut daripada jenis sandal, pumps, baji, stiletto, ankle boots, kitten heels, statement heels hingga kepada ballet flat, dengan 80 rekaan dijangka menepati ciri-ciri wanita kontemporari dengan suntikan Bohemian New Yorks.

“Setiap koleksi baharu yang kami hasilkan juga mengikut trend dan acara-acara yang memberi inspirasi agar produk yang dihasilkan memberi kelainan kepada pelanggan dengan menawarkan harga serendah RM700 ke atas,” jelasnya. - Gambar RIDUAN RIZAL