Apatah lagi jika digabungkan dengan pemakaian aksesori mewah, penampilan seseorang itu pasti mampu memberi aura berbeza tatkala hadir pada majlis-majlis prestij.

Menyedari itu, jenama fesyen batik mewah tempatan, Pieces by Raeesa melancarkan koleksi terbaharu bersama jenama aksesori antarabangsa dari German, Chopard bersempena kolaborasi Raeesa X Chopard baru-baru ini.

Mengetengahkan himpunan yang membariskan rekaan potongan ringkas (clean cut) seperti baju kurung Kedah, palazo, kain potongan A, kain potongan duyung, blaus serta sut, koleksi kali ini berkonsepkan motif flora dan tropika.

Menggabungkan batik bersama fabrik lain antaranya renda, sutera shantung dan broked, koleksi berkenaan memilih gaya versatiliti dan edgy dalam menyuntik penampilan eksklusif buat wanita moden.

Menurut pengasasnya, Erny Yusmiarty Erizal, pemilihan warna-warna gabungan gelap dan lembut memberi mood urban dan moden buat wanita yang ingin menggayakan batik dengan sentuhan lebih mewah.

Tambahnya, kolaborasi bersama Chopard juga memenuhi horizon wanita moden yang mahu berpenampilan sederhana dan bersahaja tetapi dengan suntikan minimalis melalui motif abstrak yang dicetak.

“Motif flora dengan potongan moden dan warna-warna seperti merah hati, putih, biru gelap, biru muda yang dipadankan dengan blaus dan seluar tampak anggun, tambahan pula dihiasi dengan pemakaian barangan kemas Chopard.

“Gabungan itu bukan sahaja tampak mewah, malah mengangkat martabat dan nilai estetika fabrik batik yang dilukis tangan, malah motif abstrak pada fabrik broked yang disuntik dengan rona emas memberi terjemahan berbeza dalam penampilan glamor dan klasik,” katanya pada pelancaran koleksi itu di butik Chopard, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak terhad pada pemakaian golongan pada usia tertentu, koleksi Pieces by Raeesa diterjemahkan dengan begitu indah selain menerapkan konsep mudah dipakai untuk semua golongan selain disarung sebagai persalinan harian.

Turut mengutamakan ciri-ciri pakaian Muslimah, lazimnya rekaan dan potongan yang direka dekat dengan budaya dan cara pemakaian masyarakat Malaysia yang menumpukan kesopanan dan mempunyai kelas tersendiri.

Koleksi berkenaan boleh didapati di bilik pameran yang terletak di Plaza Azalea, Shah Alam, Selangor atau menerusi laman Instagram dan Facebook Piecesbyraeesa serta di laman web www.raeesa.com.my.