Tudung memainkan peranan penting dalam penataan gaya kerana adakalanya ia dijadikan tumpuan utama dalam bergaya, malah ada yang memilih untuk memadankannya dengan aksesori seperti beg atau kasut agar penampilan kelihatan lebih kemas.

Bagi menyempurnakan gaya menawan di hari raya, jenama tudung yang kukuh di pasaran, Alhumaira Contemporary, hadir dengan Koleksi Sempurna Raya 2018 yang menampilkan gaya koleksi glamor dan minimal bagi memenuhi permintaan dan trend semasa.

Berkelaskan dengan kualiti fabrik yang tiada tandingan selepas lapan tahun dalam industri fesyen, Alhumaira memperkenalkan koleksi tudung raya yang lebih eksklusif dan sesuai untuk semua wanita.

Malah, Alhumaira kekal dengan imej produk yang mengutamakan keselesaan tetapi moden dan turut menyuntik rekaan warisan Melayu tradisional untuk koleksi raya kali ini.

Terdapat enam reka bentuk tudung dengan 12 hingga 20 warna setiap rekaan dan direka penuh teliti daripada pemilihan fabrik hingga kepada corak bagi menyesuaikan dengan apa-apa gaya.

Apa yang hebat tentang tahun ini ialah tiga rekaan tudung Sempurna Raya 2018 Alhumaira diserlahkan dengan hiasan kristal dari Swarovski yang memperlihatkan gaya eksklusifnya kepada si pemakai.

Setiap butir batu kristal Swarovski diatur dengan teliti bagi menyerlahkan penampilan tanpa kelihatan keterlaluan supaya tidak menenggelamkan pakaian raya selain tidak kelihatan berserabut.

Menurut pengasas Alhumaira Contemporary, Hani Elia Rousli, Alhumaira tidak lari dengan pendirian mereka dari awal kemasukan dalam industri pakaian muslimah sekitar 2010 dengan mengutamakan konsep tudung berkualiti pada harga mampu milik.

“Saya percaya yang setiap wanita patut memakai tudung dengan kualiti terbaik dan selesa tetapi pada harga berpatutan. Tudung tidak sepatutnya terlalu mewah kerana tujuan memakai tudung adalah untuk memberi gaya sopan dan sederhana kepada si pemakai,” ujarnya ketika majlis pertunjukan fesyen Koleksi Sempurna Raya 2018, baru-baru ini.

Bermula secara kecil-kecilan melalui jualan dalam talian pada tahun 2010 bersama suami, Humaidi Syeikh Fadzil, Alhumaira Contemporary kemudian berkembang ke penjualan di dalam blog dan kini mempunyai tiga butik di Shah Alam, Bangi dan Alor Setar.

Menurut Hani Elia, harapannya untuk Alhumaira agar satu hari nanti ia akan menjadi satu jenama setanding dengan jenama hebat lain dan bukan saja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.