Namun realitinya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai ibu bapa pasti memahami kepayahan memakaikan pakaian contohnya dengan anak berusia dua tiga tahun yang aktif dan lasak.

Baru saja mahu menyarung seluar, butang baju telah dibuka. Belum lagi memakaikan baju yang terlalu rumit dengan gabungan butang dan zip bersilang.

Memahami kepayahan menguruskan anak-anak masih kecil, pasangan suami isteri, Mohd Khairul Shazali and Jezmine Zaidan menghasilkan jenama fesyen kanak-kanak, Yay Kidstore yang fokus kepada baju romper tanpa butang mahupun zip yang memudahkan kerja ibu bapa.

“Sebagai ibu kepada dua orang anak yang sangat aktif, tugas menyiapkan anak-anak tepat pada masanya umpama hampir mustahil. Dari situ muncul idea romper tanpa butang atau zip kerana saya sememangnya suka pakaian seperti romper yang kelihatan comel pada kanak-kanak namun tidak suka kerumitannya.

“Yay Kidstore menumpukan perhatian kepada baju romper tanpa butang dan zip dengan slogan ‘Sarung and Go’ kerana ketika mereka memakai pakaian ini, saya berfikir bagi pihak ibu bapa mahukan pakaian yang mudah dipakai dan ditanggalkan serta terletak pada badan kanak-kanak walau mereka aktif bergerak.

“Menukar lampin kanak-kanak juga menjadi lebih mudah. Kami ada menghasilkan video tutorial memakaikan romper Yay pada anak kami dan ia mengambil masa kurang satu minit sahaja.

“Dalam masa sama, rekaan Yay Kidstore fokus kepada rekaan terkini, ceria, warna-warni dan lain daripada lain membuatkan gaya anak kecil menyerlah.

"Inspirasi kami kebanyakannya berasal daripada budaya pop, streetwear dan anak-anak kami sendiri,” ujar Jezmine yang tidak asing dalam dunia fesyen.

Mengimbas kembali asal-usul Yay Kidstore, terang Jezmine, ia bermula pada tahun 2014 ketika dia mengandungkan anak pertama.

Dia dan suami menyedari tidak banyak pilihan barangan bayi dan kanak-kanak yang menepati citarasa mereka sebagai contoh Star Wars dan corak-corak yang unik.

Mereka bermula dengan rekaan peralatan tempat tidur bayi seperti sarung bantal dan sarung tilam dengan cetakan unik dan menarik dan kemudian pakaian kanak-kanak pula menyusul.

Romper unik Yay Kidstore hanya perlu disarung dari kaki dan terus naik ke bahagian badan.

Material kain jersi dan kain kapas meregang yang berkualiti dan potongannya melalui proses kajian secara mendalam membuatkan romper tersebut kelihatan sangat cantik dan terletak, walaupun ditarik dengan kuat.

Koleksi pertama mereka iaitu koleksi Basic menampilkan romper kosong tanpa lengan dengan pilihan warna yang ceria.

Mereka kemudian menggunakan pelbagai cetakan termasuk Star Wars dan The Simpsons yang kainnya dilesenkan.

Yay Kidstore kemudian makin rancak bereksperimen dengan memberi edgy tambahan dan hiasan bergerigi di tepi rompers, menyerupai dinosaur dan rumbai berwarna-warni yang pasti membuat anak anda menonjol berbanding kanak-kanak lain.

Selain romper, Yay Kidstore turut menjual pelbagai pakaian bayi dan kanak-kanak termasuk sarung tangan bayi, t-shirt dan gaun dengan tema yang sama.

Koleksi Yay boleh didapati secara online di yaykidstore.co dan Instagram mereka, @yaykidstore. Mereka juga akan menyertai bazar Riuh and the City di Jalan Riong, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Julai ini.