Namun, usah terkejut kerana gaun yang direka itu sebenarnya diperbuat daripada kepingan helaian tisu yang menggunakan teknologi tenunan fiber bagi menghasilkan struktur fabrik yang kukuh dan paling penting selesa dipakai.

Sepanjang 15 hingga 20 meter fabrik tisu jenama Vinda Deluxe digunakan pereka yang sinonim dengan rekaan gaun perkahwinan yang sederhana, namun penuh elemen romantis itu.

Dia juga hanya mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan gaun tersebut.

Gaun berkenaan direka istimewa buat Shervyn Chua yang melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Anthony Wong baru-baru ini, juga bersempena pelancaran tisu jenama Vinda Deluxe buat pertama kali di Malaysia.

Menurut Nurita, hampir 75 peratus material gaun berkenaan menggunakan tisu asli dan selebihnya campuran fabrik renda rona putih mutiara dan net bermanik, selain fabrik khas bagi membentuk bahagian dalam untuk memberikan siluet yang menepati bentuk badan.

Tambahnya, bagi memberi sentuhan tradisional, leher gaun itu diberi sentuhan seperti leher cheong sam, manakala untuk sentuhan moden pula pereka itu memasukkan elemen renda dan potongan lapisan yang lembut serta drape (balutan mengelilingi sesuatu) yang memberi aura feminin buat pengantin.

“Pada awalnya, saya menjangkakan fabrik tisu ini lembut dan mudah terkoyak, namun apabila menerima material ini, saya rasa seperti fabrik kapas. Saya mereka beberapa helai gaun bagi memberi pilihan kepada pengantin dan rekaan ini paling digemarinya.

“Secara keseluruhan gaun ini memang menggunakan tisu, cuma di bahagian atas kita gabungkan renda dan net bagi kesan berbeza ketika digayakan. Apa pun ia tetap mempunyai cabaran tersendiri,” jelasnya yang memaklumkan gaun berkenaan bernilai RM10,000.

Akuinya, terdapat beberapa cabaran yang dilalui antaranya kesukaran untuk menggabungkan kesemua kepingan potongan, selain menggosok gaun berkenaan kerana bimbang suhu terlalu panas akan menyebabkan ia terbakar.

“Bagi menyiapkan gaun ini, saya meminta tukang jahit utama saya untuk melakukannya kerana perlu dilakukan dengan berhati-hati bimbang terkoyak.

“Malah untuk menggabungkan kesemua fabrik pada gaun ini juga perlu dilakukan dengan teliti.

“Pun begitu, teknologi yang dilakukan pada tisu ini yang menjadikan ia tidak mudah koyak dan sangat lembut untuk kulit, membolehkan saya melakukan eksperimen dalam potongan berlapis,” katanya yang mengakui fabrik berkenaan mampu menjadi perhatian dalam dunia rekaan.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Vinda Group SEA, Vinda Deluxe, Evelyn Chan memberitahu, jenama itu berhasrat menjadi peneraju tisu pengguna dalam kategori premium yang mampu memberi kepuasan dalam membeli kepada pelanggan.

“Penghasilan gaun pengantin tisu unik ini hanyalah permulaan dan kami akan tampil dengan lebih banyak idea menarik pada masa akan datang dalam kempen kami,” ujarnya.