Terus terang dia mengatakan rekaan dari Butik Familia miliknya bukan untuk digayakan ke majlis-majlis glamor. Dia mahu rekaan pakaian yang mudah diterima oleh semua, sesuai dipakai ke mana sahaja dan untuk pakaian harian.

Tumpuan katanya, diberikan kepada potongan yang longgar, tangan yang tidak ketat, menutupi punggung dan paling penting ialah keselesaan.

Fokus rekaan turut diberikan kepada ibu yang tidak menyusukan anak kerana tiada zip dijahit pada bahagian dada.

Menurut bekas jurutera di sebuah syarikat gas dan minyak ini lagi, pemilihan corak fabrik juga sangat penting bagi disesuaikan dengan potongan yang ringkas, justeru, corak yang minimalis, ringkas dan sedap mata memandang menjadi pilihan.

Kurung moden pendek sepasang atau kurung pendek bercorak yang dipadankan bersama kain polos merupakan rekaan terkini.

Terdapat rekaan yang diberikan perincian pada bahagian tangan yang dibuat daripada fabrik polos hitam.

Bagi memudahkan ibu yang mempunyai anak perempuan yang ingin menggayakan fesyen yang sedondon, Familia turut menyediakan koleksi untuk ibu dan anak yang berumur dua hingga 14 tahun.

“Rekaan pakaian yang terdapat di butik ini adalah ilham saya sendiri sementara fabrik dibeli di Malaysia dan juga di Bangkok. Fabrik jenis krep, kapas dan syifon menjadi keutamaan kerana menjamin keselesaan.

“Selain kurung moden, terdapat juga jaket dan blazer labuh, blaus, seluar dan skirt labuh yang sesuai dipakai di pejabat atau bagi mereka yang bekerja di luar,” katanya.

Sangat mementingkan kualiti jahitan dan kekemasan, ujar Farihan, koleksi pakaiannya dijual di butik dan secara dalam talian.

Ingin mengetahui lebih lanjut, layari Facebook dan Instagram familia.butik.