Sudah tentu anda biasa melihat kemeja linen yang dipakai oleh golongan kenamaan tatkala menghadiri majlis-majlis rasmi. Walaupun mudah renyuk, linen tetap menjadi pilihan selain batik yang biasanya menjadi baju rasmi.

Linen ialah sejenis gentian asli yang diperoleh dari batang pokok fleks yang menjadi bahan asas bagi membuat fabrik ini. Sumber fleks didapati dari negara-negara seperti Rusia, Poland, Belgium, Perancis dan Belanda.

Fabrik gentian asli semula jadi ini mempunyai banyak kelebihan seperti kukuh, tidak kenyal, pengalir haba yang baik, tahan panas matahari, tahan asid lemah dan alkali, sejuk dipakai, dan cepat kering kerana terdapat ruang rongga dalam gentian.

Melihat pada kelebihan tersebut, Jue Qhayla Abdullah, 35, memilih fabrik linen bagi menghasilkan koleksi fesyennya sendiri.

Sememangnya seorang peminat linen, Jue memulakan usaha tersebut pada 2015 ketika masyarakat industri fesyen kurang menghasilkan pakaian daripada fabrik tersebut.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa pakaian yang dibuat daripada linen adalah eksklusif. Sebab itu, setiap kali tampil dengan sesuatu rekaan akan habis dijual dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Menurutnya, linen mempunyai banyak gred, namun dia hanya memilih dua jenis linen bagi koleksi fesyennya bawah jenama Jue Qhayla Linen, iaitu linen yang berkualiti tinggi dan linen biasa.

Semua rekaan adalah daripada ideanya sendiri seperti baju kurung Riau, baju Kedah, blaus, tunik (blaus longgar labuh paras lutu) dan baju kanak-kanak.

Ada yang dibuat sepasang dan terdapat juga rekaan blaus pendek yang dipadankan bersama kain songket dan batik.

“Saya juga tampil dengan palazzo linen yang boleh dipakai bersama top dan tunik. Bagi ibu yang mempunyai anak kecil perempuan, mereka boleh bergaya bersama dengan baju yang sedondon.

“Linen boleh dipakai pada bila-bila masa sama ada ke acara rasmi atau kasual. Rekaan seperti baju kurung Pahang dan baju Kedah cantik jika digayakan pada hari raya ini. Paling mendapat permintaan ialah blaus yang mudah untuk disuaipadankan.

“Walaupun baju linen nampak keras dan kaku, si pemakai tidak akan berasa panas. Kedut pada baju pula menjadikan ia nampak lebih istimewa, mewah dan eksklusif,” katanya.

Menurut Jue, dia menyediakan puluhan warna pilihan, namun ramai yang menyukai warna-warna lembut.

Banyak juga tempahan yang diterima untuk baju pengapit pengantin dan baju korporat untuk agensi kerajaan.

Selain mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan, kata Jue, dia turut menerima banyak permintaan dari Singapura dan Brunei yang menempah sebagai persiapan pakaian hari raya.

Dijual pada harga di antara RM79 bagi blaus sehingga RM250 bagi sepasang baju kurung Riau, usaha Jue ini turut dapat membantu beberapa suri rumah yang menjahit koleksinya.