Kesemua rekaan hasil sentuhan pemilik butik ini, Azlina Ahmad, adalah tulen dan bukan ditiru daripada rekaan orang lain. Minat yang mendalam terhadap fesyen membuatkannya sentiasa menghasilkan sesuatu yang memuaskan hati setiap pelanggan.

Menerima sambutan amat menggalakkan daripada semua peringkat usia wanita, Azlina mementingkan gaya menarik selain keselesaan dan rekaannya mampu dimiliki.

Katanya, pelanggan mempunyai banyak pilihan rekaan yang sesuai dipakai semasa hari raya, ke rumah saudara-mara dan kawan-kawan atau ke majlis rumah terbuka. Selepas habis beraya, boleh dipakai pula ke pejabat.

Menurut Azlina, dua rekaan yang paling mendapat permintaan ialah baju kurung moden dan jubah. Baju kurung moden rekaannya ditambah dengan perincian seperti renda, tampalan dan fabrik bercorak.

Dia lebih gemar memilih fabrik polos untuk rekaan kerana nampak lebih menarik jika ditambah perincian tersebut. Renda yang dijahit pada bahagian tangan, bawah baju dan bawah kain tampak eksklusif.

“Bagi baju, saya menggunakan fabrik jenis krep komo, poli krep, syifon dan satin kerana mudah dijaga dan cantik. Sementara bagi perincian renda, renda Prada dan Perancis dilihat lebih sesuai.

“Rekaan yang paling mendapat sambutan ialah baju peplum dengan reben pada pinggang dan renda di tangan. Rekaan ini dibuat sepasang dengan skirt labuh.

“Tidak kurang menarik jubah polos yang ditambah fabrik bercorak geometri pada bahagian pinggang. Pengeluaran jubah ini adalah terhad dan keluaran pertama telah habis dijual.

“Warna-warna terbaharu yang mendapat permintaan ialah hijau zamrud, biru laut dan coklat gelap. Harga untuk sepasang sangat berpatutan di antara RM150 hingga RM249. 100 orang pelanggan pertama akan menerima hadiah sehelai selendang bernilai RM39,” kata Azlina.

Pakaian RIAZ ANGGUN, 12M, JALAN BUKIT IDAMAN 8/1, TAMAN BUKIT IDAMAN, SELAYANG, SELANGOR, WWW.RIAZANGGUN.COM Solekan CIK NON (012-9726885)