Cukup meminati fesyen dan sering memperagakan fesyen terkini, baru-baru ini dia telah mengeluarkan himpunan fesyen pakaian di bawah jenama Puteri Zarith By Altelia Amani, kerjasama dengan Butik Altelia Amani.

Koleksi pakaian yang pertama kali dikeluarkan di bawah jenama ini juga adalah bersesuaian dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini. Bagaimanapun koleksi ini masih boleh didapati pada bila-bila masa.

Puteri Zarith berkata, dia menyediakan sebanyak lima rekaan yang sedang menjadi trend wanita pada masa kini. Bagi setiap rekaan pula, terdapat tiga warna yang cukup diminati dan mudah digayakan pada sebarang majlis.

“Terdapat empat rekaan kurung moden pendek dan satu dres. Setiap rekaan disediakan warna yang berbeza bagi memberikan pilihan pelbagai bagi pembeli.

“Ada wanita yang menyukai warna lembut dan terdapat juga yang menyukai warna-warna terang seperti merah tua, biru elektrik dan ungu, Justeru, rekaan saya ini dibuat dengan warna-warna sebegini. Warna hitam dan biru elektrik dijangka akan mudah menarik minat wanita.

“Walaupun baru pertama kali menghasilkan rekaan fesyen namun saya tidak menyangka sambutan yang diterima sempena sambutan hari raya baru-baru ini sangat-sangat menggalakkan,” katanya.

Memfokuskan pada wanita yang ingin nampak elegan namun ringkas dan tidak keterlaluan berfesyen, Puteri Zarith berkata, rekaan yang dihasilkan bukan sahaja sesuai diperagakan pada hari raya namun cukup menarik jika digayakan ke majlis-majlis seperti makan malam, rumah terbuka dan majlis formal lain.

Perincian dan potongan amat dititikberatkan. Terdapat kain yang dibuat dengan potongan duyung, cape yang menambah gaya elegan dan perincian seperti renda serta organza memperindah gaya koleksi ini.

Penggunaan fabrik seperti krep komo yang tidak jarang dan tidak panas sudah pasti menjanjikan keselesaan kepada yang memakai.

Menyediakan saiz S hingga XL, koleksi yang dijual pada harga di antara RM269 hingga RM329 sepasang ini boleh dibeli di PrimaValet, Bandar Baru Bangi dan Butik Altelia Amani, Shah Alam serta secara dalam talian di [email protected] Zarith.