Sudah terbayang keseronokan perjalanan balik beraya ke kampung. Walaupun keadaan kesesakan jalan raya dengan ribuan kereta di lebuh raya, namun penghuni bandar sanggup meredahnya demi pulang ke kampung.

Di kampung, ibu ayah sudah siap membakar lemang, bau rendang ayam dan daging seakan-akan dapat dihidu, dodol cair membuatkan kecur air liur dan ketupat masih dalam air rebusan adalah imbauan menggamit diri untuk pulang bagi anak-anak perantauan.

Juadah-juadah ini amat bermakna dan biasanya didapati di musim perayaan.

Masa inilah kita dapat bertemu sanak-saudara dengan berkunjung ke rumah mereka dan saling bermaaf-maafan sambil menjamu selera dengan hidangan istimewa. Lain rumah lain pula hidangannya. Keseronokan beraya di kampung cukup istimewa. Tanyalah mereka yang beraya di bandar. Jawapan yang pasti, tidak meriah.

“Saya pernah beraya di bandar. Tak best. Suasana tidak meriah, dari soal makanan, saudara-mara tidak ramai dan tak tahu hendak beraya di mana sebab semua saudara-mara pulang ke kampung.

“Selepas sembahyang raya, saya sekeluarga duduk di rumah menunggu tetamu datang. Ada juga yang berkunjung tetapi tidak ramai. Banyak masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan petangnya keluar ke rumah kawan-kawan.

“Sebab itulah walaupun jauh hendak pulang ke kampung namun kami tetap juga pulang kerana dapat berjumpa keluarga dan sanak-saudara,” kata Puteri Intan Zarith Che Rashdi, 32, semasa ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Wajah seronok ibu kepada dua cahaya mata ini, Arayyan Darwish, 6, dan Puteri Medina, 3, jelas dapat dilihat apabila bercerita mengenai pengalaman rayanya.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, Puteri Intan Zarith menjadikan satu kemestian untuk pulang beraya di rumah mertuanya bersama-sama suami, Dr. Muhd. Munzir Shkori, 33, seorang pakar perubatan am.

Katanya, dia dan suami lebih suka menaiki kereta semasa pulang ke kampung kerana mudah untuk berjalan ke rumah sanak-saudara semasa di sana. Lagi pun mereka perlu membawa beberapa buah beg pakaian.

Biasanya mereka akan bertolak ke Kota Bharu pada waktu Subuh dan sampai di sana semasa hampir waktu berbuka. Perjalanan mengambil masa di antara lapan hingga 12 jam dan penat memang tidak dapat dinafikan.

Mereka berada di kampung mertua selama empat hari dan tiga hari lagi di rumah ibu Puteri Intan Zarith di Kuantan, Pahang. Raya pertama mereka bersama keluarga mertua dan pada raya kedua mengadakan rumah terbuka di sana. Di antara hidangan yang mesti ada ialah nasi dagang, sate, nasi himpit dan nasi minyak.