Fatimah Mohsin, adalah antara pereka fesyen busana pengantin yang menjadi pilihan selebriti dan orang kenamaan di negara seberang tambak itu. Dia dikagumi dalam melengkapkan acara perkahwinan dengan rekaan-rekaan yang di luar kelaziman serta menitikberatkan ketelitian dan kekemasan.

Hampir 20 tahun bertapak dalam industri rekaan fesyen pengantin, tahun ini menjadi detik bersejarah kepadanya apabila bakal melebarkan sayapnya ke negara ini dengan penubuhan Fatimah Mohsin The Wedding Gallery Kuala Lumpur.

Bagi meluaskan lagi sasaran pasaran dan jenamanya di sini, wanita ini mengambil peluang membuat penampilan di The Wedding Kuala Lumpur 2018 baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada perjalanan ketika melancong ke negara-negara Asia Barat dan India, koleksi yang mempertaruh 30 rekaan busana pengantin itu berada pada kelas tersendiri.

Mengilhamkan kepelbagaian potongan, kali ini Fatimah memfokuskan kepada penggunaan fabrik yang mampu menyerlahkan rekaan unik tanpa mengetepikan nilai eksklusif.

“Apabila bercakap tentang pemilihan fabrik untuk busana pengantin, biasanya mereka akan menggunakan sifon, songket dan renda sebagai pilihan utama. Namun, saya ingin tampil berbeza untuk koleksi baharu ini.

“Saya menggunakan fabrik baldu sebagai elemen utama rekaan, di samping pemilihan renda bercorak yang direka sendiri berbanding penggunaan renda polos.

“Saya mahukan rekaan yang dramatik, jadi fabrik baldu memenuhi keinginan saya untuk melihat busana pengantin direka dengan nilai sofistikated yang tinggi. Dengan kilatan yang cukup sempurna, menyerlahkan gaya mewah pengantin,” katanya ketika ditemui di The Wedding Kuala Lumpur 2018, di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berjaya mencipta koleksi yang berbeza dari segi ekspresi dan emosi yang dimiliki wanita kontemporari era ini, Fatimah memberanikan diri untuk menampilkan rekaan busana pengantin dengan warna-warna terang seperti kuning serta biru diraja.

Tetap mengekalkan identiti istimewa, iaitu skirt berpotongan duyung, setiap busana mempunyai sentuhan perincian mewah yang mampu memberi kesan kepada alunan fabrik serta potongan yang jelas.

Menurut Fatimah lagi, dia tidak boleh melupakan rekaan warna putih kerana busana pengantin berwarna putih sentiasa menjadi lambang kesucian majlis penyatuan dua jiwa yang diraikan.

Namun, setiap satu tetap direka dengan gabungan idea dan kecantikan, yang menjadikan koleksinya berbeza dengan pereka-pereka lain.

Hampir keseluruhan rekaan menampilkan rekaan busana tradisional kontemporari yang sarat dengan perincian indah yang direka dengan garapan sentuhan moden, keindahan dan kehalusan estetika jenama Fatimah Mohsin pastinya menarik perhatian bakal raja sehari di negara ini.