Kebanyakan remaja wanita pada masa kini amat memerlukan kasut yang mempunyai ciri-ciri di atas. Ini kerana, mereka mempunyai keinginan untuk kelihatan bergaya dengan mengenakan kasut yang cukup selesa dan mudah dipakai serta boleh dibawa bersama dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Menyedari keperluan tersebut, syarikat pengeluar kasut tempatan, Fiqs.co, tampil dengan idea lebih segar dan terkini dengan mengeluarkan Fiqs Foldable Shoe yang dilihat sebagai satu inovasi baharu. Kasut itu dibawakan terus ke pasaran tempatan.

Pengasasnya, Fiqa Liyana Chong berkata, Fiqs Foldable Shoe adalah jenama yang unik dan memenuhi cita rasa wanita alaf baharu yang mementingkan gaya sederhana pada koleksi peribadi kasut mereka.

“FIQS adalah kasut balerina yang boleh dilipat menjadi saiz yang padat dan mudah dibawa ke mana sahaja. Diinspirasikan daripada pengalaman saya sendiri yang pada asalnya gemarkan kasut tumit tinggi dan pada masa sama sering mengembara ke sana dan sini. Namun secara praktikal, kedua-dua perkara tersebut tidak selari.

“Oleh itu, saya wujudkan FIQS yang kelihatan seperti kasut balerina yang ranggi, boleh dilipat dan amat praktikal,” katanya.

Pastinya setiap kasut mempunyai keunikan tersendiri dan bagi Fiqa, kelebihan yang ada pada kasut FIQS adalah pada tapak merah jambu yang menonjol dan tidak terdapat pada mana-mana jenama di pasaran tempatan.

“Itu adalah keunikan kasut FIQS. Selain itu, setiap kasut dilengkapi dengan bekas simpanan yang mampu memuatkan kasut tumit tinggi anda ketika anda menukarkannya dengan kasut lipat FIQS,” jelasnya.

Fiqa berkata kasut FIQS amat sesuai digayakan golongan wanita yang aktif dan memiliki karier. Katanya, keselesaan yang dialami ketika menyarungkan kasut tersebut berlainan dengan kasut lain dan bermanfaat kepada mereka yang sering berjalan.

“Kasut FIQS diperbuat daripada kulit lembu asli. Ia merangkumi dalam dan luar serta terdapat dalam lima warna iaitu hijau, oren, putih, neon merah jambu dan neon kuning.

“Koleksi warna neon akan memberi kesan cahaya apabila berada di bawah sinar ultra ungu. Reka bentuk kasut FIQS sentiasa mementingkan kesederhanaan dan minimal dalam rekaan yang ditampilkan.

“Keselesaan adalah keutamaan kami. Ini adalah kerana selepas mengenakan kasut tumit tinggi, kaki kebiasaannya akan terasa sakit dan sengal. Oleh kerana itu, selain kulit lembu, dalaman kasut dilapis dengan kusyen atau span poliuretana yang memberi keselesaan kepada kaki pemakai,” tambahnya.

Kasut FIQS boleh didapati pada harga yang cukup berpatutan iaitu serendah RM199. Bagi mereka yang mementingkan gaya dan praktikal, bolehlah membuat tempahan menerusi www.fiqs.co atau melayari laman Istagram dan Facebook rasmi fiqs.co untuk maklumat lanjut.
– AL FAIZAL