Kalsom, Asmah, Sehat, Sarina, Suraya dan Fatima yang merupakan nenek di sebelah ibu dan bapanya, nenek saudara dan kakak Azwin yang masing-masing meninggalkan kesan dalam hidupnya. Dari situ timbul idea mendedikasikan koleksi terbarunya itu dengan menzahirkan personaliti mereka dari segi warna, rekaan perincian yang mempu­nyai maksud tersen­diri.

“Wanita-wanita ini memberi kesan dalam hidup saya dan telah mengajar banyak perkara yang tidak dapat dilupakan, pelajaran dalam kehidupan, kata-kata hikmat dan telah mendorong serta membentuk saya untuk menjadi diri saya yang sekarang.

“Rekaan, warna dan perincian hiasan direka secara teliti bagi menepati setiap personaliti. Material sifon dan les dgunakan kerana bagi saya ia menyerlahkan ciri feminin,” ujarnya ketika ditemui di majlis Pereka Soiree yang memperkenalkan koleksi raya oleh tiga jenama tempatan, Raileys, Shafinaz dan Slae, baru-baru ini.

Warna kuning lembut digunakan dalam rekaan yang dinamakan Asmah kerana menggambarkan neneknya yang sentiasa ceria. Kain les yang diletakkan pada atas baju seakan-akan mantel diserikan pula dengan jahitan manik yang sederhana menyerlahkan rekaan.

Rona biru lembut menggambakan Sarina, seorang lagi nenek Azwin yang disifatkannya seorang berhati lembut dan sentiasa menuturkan perkara yang baik. Rekaan moden gabungan manik dan perincian bulu melambangkan gaya Sarina yang juga moden.

Dedikasi buat ibunya, Suraya, satu rekaan yang moden tapi rumit dengan ropol bertingkat pada bahagian atas yang menurut Azwin melambangkan dugaan dalam kehidupan yang dilaluinya dengan pengorbanan besar buat keluarga tercinta namun sentiasa tersenyum dan ceria.

Kalsom, nenek Azwin paling tua disifatkannya sebagai seorang yang paling banyak pengalaman hidup dan matang, membuatkan warna biru tua sinonim dengan ciri-cirinya. Rekaan klasik dengan tampalan renda dan jahitan manik disuntik elemen moden dengan lisu serong pada atas baju yang memberi kelainan.

Nenek saudaranya, Sehat yang gemar menanam pokok bunga digambar­kan dengan kurung moden yang kainnya berlisu dan berwarna merah bata, diceriakan dengan sulaman manik bermotif bunga-bungaan.

Walaupun Azwin tidak pernah bertemu dengan kakak­­nya, Fatima yang meninggal dunia ketika kecil, dia mereka busana berdasarkan memori ibunya tentang Fatima, seorang yang tegas dalam kelem­butannya, membuatkan warna yang terang dipilih dengan potongan yang menyerlah­kan siluet.

Koleksi raya Shafinaz ini dikeluarkan dalam jumlah yang terhad setiap rekaan dengan harga bermula dari RM600.