Corak, warna dan jenis material yang digunakan dalam menghasilkan sesuatu kasut turut menjadi antara faktor penting dalam pemilihan yang semakin bersifat demanding hari ini.

Lantaran itu, seorang pereka kasut muda, Zaid Arif Zubir, 28, mula membina nama dalam bidang perniagaan yang jarang diceburi golongan muda bagi membolehkan dia mencipta kasut sendiri menggunakan jenama ‘Zeve Shoes’.

Menurutnya, ilham menghasilkan kasut ini bermula daripada teman wanitanya ketika yang kini isterinya, Nadiah Nur Akmal Osman, 28, keran gemar rekaan kasut bertali (kasut oxford).

“Setelah ‘pusing’ hampir semua pusat beli-belah di ibu negara, kasut yang diingini tiada di pasaran. saya mengambil keputusan menempah kasut tersebut secara dalam talian.

“Saya tempah kasut tersebut di luar negara dan bermula daripada situ, ramai kawan-kawan Nadiah turut menempah kasut yang sama sehingga saya terfikir menjual kasut dengan jenama sendiri,” katanya kepada .com.

Zaid yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) itu sejak dahulu memang gemar berniaga dan mahu bekerja sendiri bagi menampung kehidupannya.

“Sebelum ini, saya menjalankan perniagaan di Danau Kota secara kecil-kecilan. Saya jual kasut untuk mengumpul modal,” katanya yang memberitahu selepas empat tahun berniaga, dia kini sudahpun mempunyai kedai yang dikongsi bersama rakannya di Menara Etiqa, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, bermula pada September tahun lalu, dia mula menerima tempahan melalui dalam talian. Selain itu, ada juga pelanggan yang datang sendiri ke kedainya.

Zeve Shoes yang mula dikenali dengan reka bentuk moden, berkulit lembut, menggunakan tapak getah bercorak klasik dan moden dijual pada harga antara RM259 hingga RM349. Kasut itu menyasarkan golongan berpendapatan sederhana.

Kasut yang diperbuat daripada kulit anak lembu itu direka dengan menampilkan gaya kasut 1950-an, termasuk menggunakan corak moden berwarna coklat, hitam, merah dan hijau.

Malah, kasut rekaannya juga dipakai oleh artis terkenal seperti Remy Ishak, Shafie Naswip, Rizal Jaafar, Arja Lee dan Zain Ruffedge.

Zaid turut menasihatkan pereka muda lain yang berminat menjadi sepertinya agar percaya kepada diri dalam memastikan jenama mereka dapat menandingi jenama antarabangsa.

“Saya juga mengambil masa lama sebelum berada di kedudukan sekarang. Biar lambat asalkan kita dapat memastikan hasil keluaran benar-benar diterima pelanggan.Saya juga akan memastikan keluaran yang direka itu mempunyai kualiti tersendiri,” katanya.

Bagi mereka yang berminat memakai kasut jenama Zeve Shoes boleh menghubunginya di laman sosial Facebook: Zeve Shoes. – ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI/FAIRUZ IZYANA AYUB