Namun Nur Ayuni Abd. Rahman, 28, mengambil langkah berani dengan menghasilkan rekaan peplum yang bukan sahaja sesuai bagi yang bertubuh langsing malah boleh dipakai bagi wanita yang memakai saiz besar atau XL.

Katanya, yang membuka Butik Arco.My tahun lalu, dalam menghasilkan rekaan pakaian, dia mahu memastikan rekaan tersebut boleh dipakai oleh semua bentuk badan sama ada yang kurus langsing atau bertubuh gempal.

Dia yang telah memulakan potongan peplum dan gelembung pada pinggang serta dada, yang tanpa disangka mendapat sambutan ramai. Menggunakan fabrik jenis duchess, kepuk-kepuk yang dibentuk lebih ‘menjadi’ dan nampak lebih cantik.

Bermula daripada situ, dia memberikan tumpuan kepada rekaan yang seakan-akan sama dan ditambah dengan fabrik yang bercorak serta beropol.

Sekali pandang, walaupun nampak ringkas kelebihan sesuatu rekaan itu terletak pada peplum dan kepuk-kepuk.

Berani mencuba sesuatu yang baru dengan menghasilkan rekaan peplum untuk wanita bertubuh besar, tambahnya, golongan tersebut juga mahu nampak glamor dan memakai rekaan yang cantik.

“Namun, biasanya mereka bimbang akan nampak lebih gemuk apabila mengenakan rekaan peplum. Apa pun, peplum yang saya hasilkan ini tidak menampakkan mereka gemuk malah lebih kecil sedikit.

“Selain peplum dan kepuk-kepuk, saya turut menghasilkan rekaan yang banyak lipatan dan lisu yang menjadi signatur rekaan Arco.My. Saya gembira dapat membantu wanita yang mahu bergaya glamor ke majlis.

“Bagi mendapatkan rekaan yang bersesuaian, saya memilih fabrik yang memberi seperti satin berlipat dan crepe polymer. Fabrik ini sangat cantik dengan peplum. Apa yang penting, fabrik seperti ini sangat selesa dan tidak panas,” kata bekas jurutera ini.

Tambah Nur Ayuni lagi, idea bagi menghasilkan sesuatu rekaan biasanya diperoleh apabila dia ke luar negara.

Walaupun trend fesyen di sana bukan trend di negara ini tetapi boleh disesuaikan dengan masyarakat tempatan.

Setiap bulan, pasti ada rekaan terbaharu bagi setiap orang yang memakai saiz S hingga XL. Pelanggan bukan sahaja daripada Malaysia, bahkan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan paling jauh ialah United Kingdom.

Dijual di butik fizikal dan secara dalam talian, setiap helaian bermula pada harga RM59 hingga RM300.