Merupakan antara rekaan terbaik yang pernah dihasilkan, koleksi bertemakan Freedom on the Horizons ini meraikan kebebasan refleksi perasaan, bunyian, pemandangan serta horizon laut.

Memfokuskan potongan kemas dan ringkas dengan memilih fabrik polos sebagai tunjang utama, jenama tempatan yang sedang meningkat naik itu, memberi kelainan dengan menginterpretasikan anak tingkap dan barisan tangga yang menghadap pantai pada potongan, pembinaan paten serta bayang.

Tampil berbeza dengan koleksi sebelum ini, rekaan terbaharu itu bermain dengan penggunaan fabrik ringan dan longgar, namun dikukuhkan dengan seni kerja tangan termasuk grafik, sulaman tangan, potongan baharu serta jahitan manik dengan pengakhiran yang sangat halus.

Pemilihan warna seperti biru elektrik, pic muda, kuning, putih, kelabu dan hitam diterjemahkan dengan baik bagi menonjolkan warna-warna yang mahu diangkat pada setiap rekaan Blancheur, sebagai jenama pakaian sopan Muslimah moden.

Untuk wanita bekerjaya, koleksi ini sudah pasti tidak akan mengecewakan apabila tampil dengan persalinan yang menghimpunkan rona polos dengan suntikan maskulin bagi memberi aura wanita bijak bergaya.

Menurut pereka merangkap pegawai pembangunan jenama dan pemasaran Blancheur, Qusairy Mohammad, tumpuan diberi pada aspek potongan khususnya di bahagian dada dan pinggang, bahagian yang lazimnya menjadi perhatian.

Kehadiran perincian sulaman dan jahitan manik memberi penyatuan yang indah pada koleksi kali ini, selain menyuntik elemen flora dan motif seni bina yang mengagumkan.

Qusairy berkata, koleksi musim bunga/panas 2017 ini menawarkan pelbagai rekaan sut, jaket labuh bawah pinggul serta blazer pendek yang didatangkan bersama celana potongan lurus serta longgar.

Tidak ketinggalan skirt kembang yang sesuai digayakan dengan pelbagai potongan top.

“Sudah pasti pemilihan fabrik berkualiti, sejuk serta berstruktur seperti sutera dan kapas menjadi pilihan Blancheur, sesuai dengan iklim panas di negara ini .

“Apa yang pasti koleksi ini telah mula dipasarkan awal Januari lalu. Jenama ini juga pernah menyertai Huawei’s Arab Fashion Week 2016 di Dubai selain bakal membuat pertunjukan fesyen pada pentas London Modest Fashion Week (LMFW) 2017 di kota London pada Februari ini ,” katanya.