Rentetan daripada itu, menceburkan diri dalam dunia fesyen adalah satu bidang yang menguntungkan kerana permintaan di pasaran adalah berterusan.

Dalam pada itu, bagi yang menceburkan diri dalam bidang fesyen pula mesti berani untuk menghasilkan rekaan yang lebih kreatif supaya mampu meletakkan nilai rekaan pada taraf yang lebih hebat.

Usaha Kolej Komuniti Arau (KKA) di Jalan Tengku Budriah, Tambun Tulang, dekat sini yang memberi peluang kepada 18 pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian Semester 4 menunjukkan bakat masing-masing dalam ‘Fashion Parade’ bertemakan ‘Diversity 17’ baru-baru ini disifatkan sebagai pembuka jalan untuk pereka muda ini meneroka lebih jauh dalam bidang ini.

Pengarahnya, Norasmah Saad berkata, beliau tidak menjangka hasil rekaan pelajar semester empat kali ini menunjukkan pres­tasi di luar jangkaan.

“Inilah hasil yang kita mahukan pelajar menggunakan kreativiti sepenuhnya supaya dapat membuktikan hasil keluaran KKA bukan calang-calang orangnya,” kata­nya selepas menyaksikan ‘Fashion Parade’ berkenaan.

Katanya, ke­sungguhan ini yang pihak KKA mahukan supaya sekalipun me­reka di peringkat ‘bertatih’ tetapi berani mengolah idea untuk dipersembahkan dalam rekaan yang unik dan versatile.

Norasmah berkata, ibu bapa pelajar terbabit juga turut diundang sebagai tetamu dalam pertunjukan fesyen ini bagi memberi semangat di atas hasil usaha anak-anak mereka.

Seorang pensyarah, Mohammad Nizam Saad pula berkata, sekalipun lebih kurang dua bulan diambil oleh setiap pelajar untuk menyiapkan rekaan tetapi hasil yang diberikan amat menakjubkan.

“Saya memberikan kebebasan kepada pelajar sesuaikan dengan temanya ‘Diversity 17’ untuk rekaan busana malam, kostum atau busana pengantin,” katanya.

Beliau berkata, selain itu para pelajar berkenaan juga digalakkan menggunakan bahan yang tidak mahal tetapi mampu menghasilkan ciptaan yang nampak eksklusif.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Normimi Sharmila Norizan, 22, memilih untuk menghasilkan busana bertemakan burung me­rak untuk ball gown dalam warna hijau polos.

“Saya menggunakan 10 meter kain satin Thai yang di­serikan de­ngan bulu merak,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen.

Normimi Sharmila berkata, dia mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan rekaan ini yang disifatkan agak menca­bar terutama ketika menjahit di bahagian kain yang kembang.

Sememangnya hasil 18 rekaan pelajar ini tidak menghampakan selepas 16 bulan menghadiri kursus ini di KKA.

Rakan-rakannya yang lain, Nor Alia Ahizan dengan tema gothic, Nurul Najwa Che A’ad (saree), Nurul Najah Khori (origami), Farisatul Liza Ismail (istana matsumoto), Nur Syamira Mohd. Shahbudin (jelly fish), Hafiz Md Isa (porselain), Nor Afifah Ab Razak (geometri), Ili Mahirah Abd Latif (infestation of termite), Nur Izzah Izzati Zubir (morocco), Nurafizah Kassim (naive art) dan Suriya Asyrani Azhar (chameleon).

Fathia Nur Anisa Yusri dan Nor Atikah Arshad ma­sing-masing memilih te­ma garden dan begitu juga Nor Adila Roslan, Nurul Natasha Hassan, Noor Asilah Wahab dan Nur Ain Nasharudin dengan tema beta fish.

Lebih menarik apabila rekaan ini tidak menggunakan bahan mahal tetapi setiap pelajar dilihat berani mengutarakan keunikan idea masing-masing.

Ada yang menggunakan kain belacu yang kemudiannya dicorakkan dengan pelbagai cat dalam pelbagai warna garang sebelum dijadikan ball gown atau gaun labuh ala puteri Inggeris.

Selain itu, ada pelajar yang meng­gunakan sutera Cina yang diberikan tema porcelin yang menampilkan keunikan apabila pada potongan bahagian kain berbentuk pa­su.

Hasil yang dipa­mer­kan ini berjaya membuktikan pelajar KKA juga mampu meme­ri­ahkan dunia fe­syen ji­ka berani menghadapi ca­ba­ran da­lam bidang ini yang di­si­fatkan sentiasa up to date.