Puteri Nur Amalina Fasihah Tengah
Puteri Nur Amalina Fasihah Tengah

Berbekalkan modal RM200, Puteri Nur Amalina berjinak-jinak menjual tudung dan selendang semasa di kampus, tiga tahun lalu. Justeru, waktu lapangnya tidak terbuang begitu sahaja tanpa dimanfaatkan.

Sambutan positif membuatkan gadis yang mesra dipanggil Puteri ini mengusahakannya secara serius termasuk secara online, selain terlibat dalam beberapa festival jualan.

"Mungkin belum rezeki saya untuk bergelar jururawat. Jadi, saya gunakan peluang ini untuk mengumpul duit menerusi perniagaan. Saya juga memberanikan diri membuka butik chanteq_store di Durian Burung sejak lebih setahun lalu," katanya kepada S2.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapi artis wanita cantik, Neelofa menerusi perniagaan hijabnya, Naelofar menjadi sumber inspirasi kepadanya.

“Saya berhasrat untuk membuka beberapa cawangan butik di Kuala Terengganu,” katanya.

Puteri juga bekerja di sebuah spa kerana minat yang mendalam terhadap bidang itu.

"Dalam usia sebegini, banyak lagi yang perlu diteroka sebagai jaminan masa depan.

“Buat masa ini, ibu saya membantu menguruskan perniagaan butik dan saya pula mengurus bisnes online,” katanya yang turut menjadi model tudung Peteh Terengganu Peteh.

Selain itu, Puteri yang mempunyai ketinggian 160 sentimeter dan berat 50 kilogram memilih menggayakan sendiri pakaian untuk diiklankan dalam laman Instagramnya.