Program yang telah bermula pada 2015 itu merangkumi rangkaian ekosistem fesyen, iaitu rekaan, pembuatan paten, pengeluaran dan peruncitan.

Bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda tempatan memperkenal rekaan dan mengetengahkan lagi bakat mereka, program tersebut menganjurkan Mara In Fashion Runway 2017, yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seramai 20 peserta dipilih untuk digilap bakat mereka menjadi pereka fesyen profesional.

Mereka melalui empat fasa latihan yang merangkumi segala aspek rekaan fesyen dan dibimbing oleh pakar-pakar industri fesyen tanah air.

Pada acara kemuncak, setiap peserta telah mempersembah tiga hasil rekaan masing-masing di pentas peragaan untuk dinilai oleh juri profesional.

Tiga peserta berpotensi, iaitu Amirul Khursaini Mustafa Kamal, Abdul Rahman Safeei dan Fyrose Zainuddin dipilih mengikuti kursus fesyen jangka pendek di Central Saint Martins, London, Britain.

Amirul Khursaini membawa rekaan bertemakan Marching Forward, yang diinspirasikan daripada pakaian seragam tentera diraja dan kumpulan pancaragam.

Koleksi pakaian berkonsep sportswear to streetwear ini cukup unik, rapi dan sesuai bagi lelaki dan wanita yang mahukan kelainan dalam penampilan.

Abdul Rahman Safeei pula menyediakan koleksi sedia dipakai (RTW) dengan kategori pakaian kasual kemas bertemakan Art of Cubism.

Inspirasi diperoleh daripada tekstur, warna dan corak keunikan lukisan Pablo Picasso berjudul Woman Sitting In An Armchair.

Koleksi rekaan eksklusif ini untuk lelaki berkerjaya serta mempunyai cita rasa tinggi dalam fesyen.

Peserta wanita, Fyrose Zainuddin pula memilih tema Spirited Away yang merupakan koleksi pakaian separuh formal diilhamkan daripada keunikan baju kurung yang diinterpretasikan semula dalam nada kontemporari.

Sementara itu, Suziyanti Ngah dan Hazizul Abdul Aziz yang masing-masing memilih tema Sea Beauty dan The Unsung Princess telah dipilih menerima anugerah Most Promising Designer Award. Anugerah telah disampaikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Sementara itu, Awang Adek berkata, MIF akan memperkukuh strategi pembangunan usahawan fesyen melalui ekosistem yang terancang dengan meningkatkan nilai rekaan, kualiti jahitan dan tukang jahit berkemahiran tinggi yang memenuhi piawaian antarabangsa.

“Selain itu, kami berharap dapat menzahirkan visi MIF untuk menjalinkan pelbagai jaringan serta kolaborasi bagi mewujudkan peluang perniagaan fesyen lebih besar bersama agensi dan syarikat di luar negara.

“Mara akan terus membantu pereka-pereka muda ini dan MIF akan dijadikan acara tahunan,” katanya.

Tahun lalu, melalui MIF, pereka muda yang telah mendapat bimbingan Mara berpeluang meluaskan jenama masing-masing ke pasaran lebih luas seperti Sogo, Isetan, Haute Elan, London dan Fashion Valet.

MIF 2016 juga telah membawa tiga pereka menyertai program London Muslim Lifestyle Show, yang merupakan platform terbaik dalam pembinaan jenama ke dalam komuniti fesyen di negara Eropah. - Gambar WAHIDAH ZAINAL