Sebagai produk identiti negeri berkenaan, fabrik ini telah dimasyhurkan sebagai Tenun Pahang Diraja pada 8 Mei 2006 dan perkembangannya dipantau secara rapi melalui Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja bawah Penaungnya, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Bagi memastikan kelangsungan perusahaan fabrik ini bukan hanya pada peringkat domestik, malah ke persada dunia dengan membawa jenama Tenun Pahang Diraja, maka tertubuhnya Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Individu penting yang bertanggungjawab ke atas penubuhan tersebut yang merupakan pengasasnya, iaitu Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tujuan penubuhan yayasan ini adalah untuk membangun, memberi nilai komersial, memelihara dan memulihara perusahaan Tenun Pahang Diraja sebagai satu perusahaan kraf warisan yang dinaungi Istana Pahang.

Majlis pelancaran rasmi yayasan berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada pelancaran berkenaan ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dalam ucapannya, Tunku Azizah bertitah, industri tenun di Pahang amat penting dan perlu dipelihara.

Seperti mana di negara beraja yang lain, istana memainkan peranan penting dalam memelihara dan memperkasa sesuatu tradisi, seni dan kraf apatah lagi yang secara langsung mencerminkan identiti masyarakat setempat.

“Adalah menjadi harapan supaya anak-anak saya dan semua agensi yang berkaitan agar tetap tekun meneruskan usaha ini dari satu generasi ke generasi yang akan datang. Legasi ini perlu dikekalkan supaya terus menjadi kebanggaan rakyat dan negara,” titah baginda.

Sebuah perkampungan Tenun Diraja akan dibangunkan di Pahang bagi memartabatkan industri tenunan berkenaan.

Tengku Abdullah bertitah, perkampungan berkenaan dijangka menjadi pusat pembangunan yang turut menempatkan seramai 134 bekas banduan berkemahiran menenun.

“Mereka akan ditempatkan di situ untuk membolehkan terus memberikan didikan kepada generasi muda dalam membangunkan produk berkenaan.

“Penempatan ini dibina atas keprihatinan terhadap usaha Tengku Puan Pahang memartabatkan produk Tenun Diraja Pahang selama ini,” titah baginda.

Pada majlis berkenaan turut dilancarkan buku, Tenun Pahang Diraja: A Fashion Tradition.

Buku yang ditulis oleh Tunku Azizah dan Pengarah Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal itu menceritakan sejarah bermulanya industri tenun di Pahan, serta pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi untuk membawanya ke tahap sekarang yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan fesyen oleh pereka fesyen tempatan, Sharifah Kirana dan Datuk Rizalman Ibrahim yang menggunakan kain Tenun Pahang Diraja, selain pereka Indonesia, Didiet Maulana yang terkenal dengan penggunaan kain tenun teknik ikat.

TENUN Pahang dikatakan telah bertapak di bumi Pahang sejak abad ke-17 lagi. Seni tenun ini dipercayai berasal dari tanah Bugis dan diperkenal oleh seorang pembesar bernama Keraing Aji, yang juga dikenali sebagai Tok Tuan.

Biarpun aktiviti menenun telah wujud di Pahang sebelum kedatangan Tok Tuan lagi, beliau tetap boleh dianggap sebagai pengasas kepada perusahaan tenunan di negeri itu, setelah beliau berjaya membangun dan mengembangkan perusahaan sehingga menjadi salah satu yang terpenting dan diminati ramai pada ketika itu.

Tok Tuan telah mengajar teknik menenun sehingga beliau disemadikan di Kampung Mengkasar, Pekan.

Tenunan ini merupakan salah satu tradisi menenun yang dicipta sejak berabad lalu yang merakamkan cara hidup, mitos, kepercayaan, pantang-larang dan upacara tertentu.

Ia memperlihat secara halus hubungan antara tradisi menenun dengan alam sekitar yang mencerminkan pemikiran serta jiwa masyarakat Melayu tradisional Pahang.

Tenun Pahang mula berkembang kepada seni halus dan menjadi tekstil tenun khusus untuk golongan istana.

Hasil tenunan benang pakan dan losengnya turut diselitkan secara simbolik hubungan antara raja dan rakyat.

Melalui kain tenun ini, penenunnya mengabdikan diri dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah.