Jatuh cinta dengan corak kain batik indah dengan kualiti kain kapas, maka Rasta Rashid melahirkan jenama Batek By Rasta Rashid yang memberikan kelainan kepada pemakaian kain batik kapas.

Batek By Rasta Rashid fokus kepada kain batik yang dijahit dengan pelbagai rekaan moden dan tradisional bagi memberikan kelainan selain mengangkat kain tradisional ini di mata dunia.

Pelbagai rekaan baju di butik yang terletak di Pasar Seni Kuala Lumpur ini, daripada pakaian santai seperti gaun, blaus dan palazo hingga ke rekaan yang formal seperti kemeja yang kesemuanya menggunakan kain batik kapas dari Terengganu dan Kelantan. Menyasarkan golongan muda untuk menggayakan koleksinya itu, Batek By Rasta Rashid turut menyediakan rekaan untuk kanak-kanak.

Ciri utama Batek By Rasta Rashid ialah kepala kain seperti pucuk rebung bagi kain batik kapas Terengganu dan corak bunga bagi kain batik Kelantan diletakkan di bahagian belakang baju, memberi keseimbangan dan keunikan kepada rekaan.

Rasta turut menghasilkan koleksi kasut, beg tangan dan aksesori yang menggunakan kain batik. Selain itu, pelanggan turut boleh memilih kain batik yang ada di butik dan memilih rekaan baju yang diingini.

Cerita Rasta, idea menghasilkan Batek By Rasta Rashid yang baru bermula April tahun ini dengan menggabungkan elemen kain batik dengan rekaan baju lain ini timbul dari minatnya sendiri dengan material kain batik ini.

“Suami saya berbangsa Cina dan ada masa saya perlu memakai pakaian tradisional mereka iaitu Cheongsam ke majlis keluarga dan ketika pengambaran majalah. Saya suka kain batik sarung kerana ia bersifat sejuk dan selesa, timbul idea untuk menempah cheongsam menggunakan kain batik yang saya ada dan hasilnya memang menarik perhatian ramai.

“Batik ini sifatnya tidak cantik dilihat dengan mata kasar, tapi apabila telah dibuat baju dan dipakai, ia kelihatan indah kerana keunikan motifnya yang berwarna-warni.

“Sasaran saya untuk melihat golongan muda berbangga dengan warisan kita ini dan menukar persepsi yang kain batik hanya untuk orang lama. Saya lihat dengan rekaan saya ini dapat menarik minat mereka sedikit demi sedikit kerana sifat kainnya yang selesa dan terletak ditambah rekaan moden yang menjadi minat ramai.

“Contohnya sekarang ini ramai anak muda gemar memakai baju Melayu kurta, maka saya gunakan kain batik kapas ini untuk rekaan kurta dan ia diterima ramai.

“Saya juga mahu memartabatkan warisan kain batik kita di mata dunia dan baru-baru ini Batek By Rasta Rashid dijemput mempamerkan koleksi di Minggu Fesyen Singapura dan sambutannya agak menggalakkan,” ujarnya yang memilih sendiri kain batik kapas yang berkualiti.

Terbaru untuk koleksi eksklusif 2018, Batek By Rasta Rashid mengeluarkan rekaan cantuman koleksi songket Pekan polos bersama batik tempatan memberikan rekaan yang lebih segar dan terkini. Ujar Rasta, dia kini masih mencari pembekal kain songket Pekan yang boleh menawarkan harga yang sesuai untuk bekerjasama dengannya.