Coraknya yang malar segar membuatkan fesyen baju kurung daripada kain sari itu tidak bosan dilihat malah menjadi tumpuan apabila menggayakannya. Kainnya yang berkualiti juga membuatkan ia mampu tahan lama. Begitu juga fabrik sutera Thai yang menjadi trend satu masa dulu kerana berwarna-warni.

Mengembalikan kenangan kegemilangan kain yang penuh glamor itu, Dynas Mokhtar mengeluarkan koleksi terbaru untuk jenama fesyennya, One-Ra By Dynas menggunakan kain sari dengan potongan tradisional.

Potongan klasik kurung Pahang dan kebaya peplum dipilih untuk koleksi terbaru ini namun diberi sedikit sentuhan moden bersesuaian dengan kehendak semasa.

Fabrik sari digunakan untuk koleksi kurung Pahang namun diubah suai dengan meletakkan ‘kaki’ kain yang indah bergemerlapan dengan sulam emas pada depan baju yang menjadikannya seperti kebaya.

Warna pastel menjadi pilihan iaitu merah jambu, ungu dan kuning kemerah-merahan. Ciri pesak Pahang dikekalkan, memberi ilusi lebih ramping kepada si pemakai.

Warna-warna terang iaitu hijau, merah, kuning dan jingga dipilih untuk koleksi kebaya peplum. Perincian tampalan sulaman dengan kilauan emas dan perak bercorak geometri pada leher menyerlahkan rekaan.

“Koleksi ini juga sesuai untuk ibu yang menyusu kerana di bahagian depannya mempunyai zip yang memudahkan penyusuan. Begitu juga zip pada bahagian lengan memudahkan untuk mengambil air wudhu,” ujarnya yang turut mengeluarkan koleksi palazo juga dengan kain sari.

Koleksi terbaru One-Ra By Dynas ini didatangi dengan saiz XS hingga XL dan turut dilapisi kain lapik yang lembut dan menyejukkan agar tidak jarang. Kesemuanya boleh didapati di laman beli-belah dalam talian shopee.com.my dengan harga berbaloi.

Sebelum ini, Dynas lebih dikenali dalam menghasilkan baju-baju untuk ibu menyusu dan mengandung di bawah jenama DNA. Ujarnya, idea menghasilkan jenama One-Ra By Dynas ini atas usul ibu yang mencadangkan koleksi fesyen sopan tetapi glamor.

“Idea menghasilkan One-Ra By Dynas juga bermula apabila saya mendapat jemputan untuk menyertai pertunjukan fesyen di London iaitu Exhibition Pure London, London Modest Fashion Wear pada Februari lalu.

“Pemilihan warna dibuat oleh saya dan material dan potongan pula dipilih oleh ibu saya. Kiranya ini adalah projek antara ibu dan anak yang berkongsi minat dalam fesyen,” ujarnya.

One-Ra bermula dengan koleksi pakaian kasual seperti seluar, skirt, jaket, dan jaket labuh menggunakan material tweed dan kemudian disusuli dengan palazo dan suit tanpa lapik yang berkonsepkan smart kasual.