Itu kata-kata pengusaha butik busana pengantin, Mohd. Rizal Tosilan, 31, pemilik Inderaloka yang terletak di Banting, Selangor.

Butik Inderaloka yang terkenal dalam kalangan raja sehari atau wanita dan gadis yang mahu tampil mempesona pada majlis persandingan, pernah tular di media sosial dengan pelbagai rekaan fesyen pengantin terkini bersandarkan gaya peplum, gaun kembang, renda, dres atau menjadikan songket sebagai latar hiasan fabrik.

Perincian baju diberikan perhatian yang menjadi dambaan pasangan pengantin yang mahukan hari bersejarah mereka dikenangi seumur hidup.

Mahu semua bakal ratu sehari itu tampil bagaikan puteri dan memukau hadirin yang melihat apabila berjalan beriringan dengan pasangan ke persada pelaminan, menyebabkan Mohd. Rizal sentiasa tampil dengan memuatkan hanya yang terbaik buat mereka.

Biarpun pada mulanya dia tidak mejangkakan Inderaloka akan pergi sejauh ini, namun dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan.

“Ilham layah, leretan renda panjang dan gaun kembang bersama peplum, tidak pernah luput kerana itulah trademark Inderaloka. Telah 10 tahun Inderolaka yang diasaskan bersama rakan, Rajman Ishak menginjak usianya kini.

“Pada awalnya saya sandarkan butik ini hanya sebagai pekerjaan sampingan kerana telah mempunyai pekerjaan tetap di sebuah syarikat sebagai pereka visual barangan berjenama, tetapi apabila perniagaan semakin maju dan pekerja sendiri tidak menang tangan untuk mengendalikannya, membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian kepada Inderaloka dalam dua tahun kebelakangan ini,” jelas anak jati Banting ini.

Mohd. Rizal memberitahu, pada mulanya Inderoka turut menawarkan pakej persandingan lengkap seperti pelamin dan gubahan hantaran sebelum akhirnya menumpukan kepada persalinan pengantin atas permintaan yang terlalu tinggi.

Jelas lelaki yang mempunyai Diploma Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, dia juga boleh membuat gubahan sekiranya diperlukan.

“Kerana minat, ilham yang dipancarkan menerusi lakaran memang datang dari idea yang spontan.

“Saya sebenarnya cerewet kerana mahu penghasilan yang dijelmakan hanya yang terbaik. Bila lihat mereka pakai cantik itulah kepuasan di hati saya.

“Saya sebenarnya hendak buktikan, boleh berjaya dalam bidang ini biarpun tanpa pembelajaran khusus. Walaupun banyak cabaran dan persaingan tetapi kami tetap kekal dengan cara kami iaitu mengeluarkan apa yang orang lain tidak buat, dan memberikan apa yang orang lain mahu,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini, yang merupakan lulusan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah.

Mohd. Rizal berkata, biarpun pada awalnya dia tidak menerima dorongan dan galakan daripada keluarga ketika menceburi bisnes berkenaan apatah lagi dalam bidang fesyen, namun kini membuktikan dia telah berjaya dengan impiannya.

Inderolaka kini mempunyai 12 orang pekerja termasuk tukang jahit dan perunding perkhidmatan pelanggan. - Gambar AZLAN HADI ABU BAKAR