Ya, bunyinya mungkin agak keterlaluan untuk kita menilai seseorang itu sepantas tujuh saat, tetapi itulah realitinya. Saya namakan ia, Sains dan Seni di sebalik Tanggapan Pertama atau First Impression.

Menariknya, setelah anda dapat melihat hubungan di antara penampilan iaitu gaya berpakaian dengan si pemakai, secara automatik anda boleh membaca peribadi seseorang itu seperti sebuah buku.

Anda tidak perlu terlalu bergantung dengan apa yang dikata (kadangkala agak tidak tepat), tetapi lihat secara keseluruhan seperti komunikasi bukan lisan mereka untuk mendapatkan gambaran yang sebenar.

Kebetulan baru-baru ini, saya mendapat undangan menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri sebuah syarikat GLC, bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre.

Sebaik memasuki pintu masuk bangunan tersebut, dan berjalan ke arah lif berdekatan, saya disapa oleh penyambut tetamu yang bertugas pada petang itu, yang rupa-rupanya rakan sepejabat saya dahulu. Kami bertegur sapa, bertanya khabar sambil menunggu lif seterusnya.

Tiba-tiba tanpa disedari, satu suara datang menegur, “Oh I feel so under dress to stand besides you”. Saya memandang ke arah pemuda tersebut. Wow, tinggi dan agak besar orangnya, walaupun bersut penuh tetapi maaf, agak selekeh gaya penampilannya.

Ya, seorang mat saleh. Saya tergelak kecil , sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Pada masa yang sama agak terkejut dan sedikit teruja dengan pandangannya terhadap saya. Apatah lagi kami tidak mengenali antara satu sama lain.

Apakah agaknya yang telah berlaku di dalam masa yang singkat tersebut? Bagaimana seorang yang asing boleh menegur dan memberikan pandangan positif sedangkan saya tidak mengenali dirinya?

Dan menariknya, senario tersebut tidak berakhir di situ sahaja.

Apabila memasuki dewan dan berbicara bersama rakan-rakan lama sebelum makan, tiba-tiba kami disapa pula seorang wanita berkulit hitam, lengkap berbaju kurung kedah untuk mengambil gambar kami sekumpulan.

Rakan-rakan sempat mengusik, bahawa wanita tersebut hanya berminat mahu mengambil gambar kerana saya. Sekali lagi saya terfikir atau mungkin itu hanya satu kebetulan.

Kira-kira 15 minit sebelum beredar dari majlis tersebut, saya disapa lagi oleh wanita tersebut untuk mengambil gambar saya seorang diri.

Kini saya yakin, benarlah wanita ini sebenarnya berminat dengan baju saya petang itu! Tanpa berlengah, saya mengambil kesempatan untuk mengenali nya dan bertukar kad perniagaan.

Wah, bukan calang-calang orangnya. Lahir di London, dari sebuah keluarga Jamaica, dia merupakan seorang penulis buku, perunding perniagaan, penasihat pendidikan di salah sebuah syarikat peneraju utama penyedia perkhidmatan pendidikan kepada sekolah-sekolah di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara di sini.

Persoalannya, adakah perkara ini cuma satu kebetulan? Adakah kerana saya seorang perunding imej dan kebarangkaliannya lebih besar?

Sebetulnya, sebelum menerima jemputan ke majlis ini, persiapan rapi saya lakukan seminggu sebelum majlis berlangsung. Wah, mungkin anda terkejut. Seminggu sebelum? Ya, saya katakan seminggu kerana baju yang dibeli itu adalah secara dalam talian.

Saya pastikan dahulu, apakah ‘mesej’ yang ingin saya sampaikan melalui penampilan saya petang itu nanti. Mesej yang membawa maksud, siapakah saya, gambaran profesion dan latar belakang saya dan tentunya saya mahukan mesej yang bermaksud positif kepada yang memandangnya.

Bukan setakat gaya, saya pastikan pilihan warna, rekaan dan aksesori memainkan peranannya di sini. Mungkin ada yang merasakan ini sesuatu yang sukar dan menyusahkan, terutama melibatkan sedikit perancangan sebelum majlis.

Tetapi apa yang saya boleh kongsikan, perkara ini adalah satu pelaburan dari segi wang, masa, yang amat berbaloi untuk anda mencapai misi (secara peribadi mahupun profesional).

Aplikasikan kaedah 2K dan 5 strategi yang saya kongsikan minggu lepas untuk membantu anda.

Mungkin ada yang bertanya, apakah sebenarnya yang dinilai dan perkara yang diambil kira ketika proses tanggapan pertama itu berlaku ? Berikut merupakan hasil pemerhatian dan kajian yang dilakukan.

Penampilan kemas

Tidak dinafikan sebagai ibu dan bapa, kita lebih gemar melihat anak-anak berpakaian kemas, rambut disikat rapi, bertali pinggang, anak perempuan pula digayakan dengan reben atau headband kecil di kepala, berkasut lace dan sebagainya. Malah ada juga yang sudah pandai bergaya dengan beg tangan kecil juga kaca mata hitam sebagai penyeri.

Tetapi, bila dipandang si ibunya pula… agak selekeh, berselipar malas dan kelihatan ‘berat’ berjalan membawa diri sendiri.

Apakah yang berlaku? Tidakkah si ibu tadi seharusnya menjadi role model kepada si anak kecil tadi ? Jadi tidak hairan juga, jika anda melihat mereka yang sering berpenampilan rapi dan kemas, pandai mendandan diri, sedikit sebanyak didorong oleh cara asuhan ibu bapa mereka sejak kecil.

Apabila meningkat dewasa, mereka sudah terbiasa menampilkan imej peribadi yang menarik dan punyai lebih kenalan berbanding individu yang selekeh tadi. Tidak dinafikan kerana mereka yang berpenampilan menarik, kelihatan lebih yakin dengan diri mereka sendiri.

Pakaian Selekeh

Potongan baju yang terlalu besar, ketat, baju yang kotor, tidak bergosok dan kusut masai menandakan si pemakai yang tidak berdisiplin, tidak teliti malah tidak perihatin akan imej diri. Barangkali dia dibesarkan di dalam sebuah keluarga di mana berpakaian kemas dan rapi tidaklah menjadi keutamaan mereka.

Kebanyakan masa, penampilan selekeh juga seolah-olah memberi gambaran tempat kerja berselerak, kereta kotor dan rumah bersepah. Secara tidak langsung memberikan gambaran yang agak negatif terhadap individu tersebut.

Berpakaian selekeh membuatkan si pemakai berasa malas, lihat sahaja cara mereka berjalan, benar-benar memberi satu refleksi kepada personaliti individu itu sendiri.

Bergaya, tetapi tiada common sense

Pernahkah anda melihat golongan selebriti di Amerika Syarikat, memakai blazer dengan berseluar pendek seperti short pants, mendedahkan keseluruhan kaki dan keluar berjalan di sekitar kota New York ketika musim sejuk?

Bagaimana pula fesyen turban yang digayakan di pentas peragaan ketika minggu fesyen keislaman yang boleh mencecah sehingga satu kaki tingginya gaya turban itu?

Juga kita melihat beberapa tahun lalu, kes yang melibatkan beberapa selebriti tanah air yang mendapat kritikan hebat daripada peminat mengenai isu baju yang dipakai.

Pakaian selekeh, aksesori mewah

Agak-agaknya, apakah yang akan anda dapat dengan memakai pakaian yang selekeh, tudung tidak bergosok, baju kotor dan rambut kusut tetapi disuaipadan pula dengan jam, kasut atau beg tangan yang melambangkan status dan ‘kekayaan’ anda.

“Saya ingin dilihat serba mewah dan kaya tetapi saya tidak punyai ‘class’ untuk menampilkannya”.

Kebergantungan kepada simbol status seperti ini adakala boleh menjengkelkan mereka di sekeliling dan mata yang melihat. Secara peribadi, saya pernah melihat seorang wanita yang memiliki lebih tiga jenama pada suatu masa di badannya, seperti tudung dan brooch Chanel, tali pinggang Gucci, beg tangan Prada.

Golongan yang berjaya dan berada ini kebanyakan masa, tidak perlu pun bergantung dengan label dan jenama semata-mata untuk menunjukkan kemewahan.

Tetapi mereka bijak dalam memilih kualiti fabrik dan rekaan, tidak sesekali berkompromi dengan saiz baju yang terlalu besar, longgar atau terlalu ketat dan berjaya menampilkan diri mereka dengan penuh keyakinan. Cukup dengan satu jenama di tangan, cukup dengan sebuah beg mewah Chanel!

Majlis betul, 
pakaian salah

Mereka yang hadir di sesuatu majlis, berpakaian tidak sesuai atau tidak mengikut tema majlis seringkali dilihat sebagai individu yang kurang bijak, tidak mengambil berat dan tidak menghormati hos yang menjemput.

Ternyata, banyak kesalahan seperti ini boleh kita dapati di majlis-majlis perkahwinan Melayu sejak akhir-akhir ini. Masih ramai kaum lelaki yang hadir hanya berseluar jeans bersama t-shirt selain berpakaian mengikut tema atau berbaju berbaju Melayu. Wanita pula hadir dengan pakaian nipis dan agak menjolok mata, mendedahkan aurat walaupun di sebuah minggu fesyen keislaman yang dianjurkan.

Sebenarnya, bagaimana anda tampil berpakaian juga bahasa badan, mendedahkan pelbagai perkara tentang anda, tanpa disedari.

Adakah anda sudah bersedia dengan kritikan atau ingin menjadi individu yang lebih diyakini dan dipercayai? Hanya tujuh saat penentunya.