Pereka dan pengasasnya, Nurhazimah Ahmad Fadlullah Suhaimi, 27, memilih warna-warna pasir, ungu dan merah jambu bagi koleksi tersebut.

Mahu dikenali sebagai Xemasu, koleksi yang direka eksklusif untuk pasaran Brunei itu (untuk tempahan) baru sahaja dilancarkan pada 6 dan 7 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, koleksi ini juga boleh ditempah oleh pelanggan di Malaysia.

Menurut Nurhazimah, warna pasir melambangkan bumi sementara motif-motif yang terdapat pada pakaiannya mewakili flora dan fauna yang mengindahkan dan menceriakan alam semula jadi.

Katanya, koleksi ini sebenarnya dibuat sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi telah dilancarkan lebih awal.

Oleh itu pelanggan boleh menggayakan koleksi ini lebih awal untuk majlis makan malam dan majlis-majlis lain.

Pun begitu, La Nomade masih sesuai jika mahu digayakan pada hari lebaran itu nanti.

Apa yang menarik, koleksi ini mudah disuai padan. Jika mahu dipakai sepasang pun cantik atau boleh juga dipakai bahagian skirt atau baju sahaja. Ia terpulang kepada si pemakai bagaimana hendak menggayakan mengikut acara yang anda akan hadiri.

“Saya memilih fabrik jenis sifon bagi koleksi ini kerana kelembutan fabrik itu sendiri. Begitu juga dengan pemilihan warna-warna lembut yang mencetuskan sisi feminin koleksi ini.

“Sesuai dengan koleksi itu sendiri yang direka untuk hari raya atau ke majlis, saya tambahkan dengan jahitan manik, labuci dan sulaman tangan.

“Ini bagi menambahkan gaya eksklusif rekaan yang mudah menambat hati wanita,” kata Nurhazimah, yang merupakan pemilik Butik Xemasu di Sentul, Kuala Lumpur.

Dia tidak menyangka sambutan yang diterima daripada pelanggan di Brunei cukup memberangsangkan.

Banyak tempahan diterima dan sesetengahnya meminta supaya ditambah lebih banyak manik serta labuci pada rekaan yang dipilih.

Tidak sia-sia menerima pelawaan Butik The Runaway di Brunei untuk membawa La Nomade ke sana, dia menganggap pencapaiannya ini amat membanggakan.

Tambahnya, di negara itu tambahnya tidak ramai pereka fesyen, oleh itu dia merancang untuk menghasilkan rekaan yang lebih eksklusif pada masa hadapan.

Kali ini dia menggunakan pendekatan dia sendiri yang berjumpa dengan pelanggan dan bukannya pelanggan yang datang kepadanya.

Pelanggan boleh memilih tarikh yang sesuai dengan mereka dan dia akan berjumpa dengan mereka.