Ia membawa maksud kehidupan yang manis, telah diperhalusi menerusi tiga gaya hijab iaitu selendang semi segera (instant shawl-Claudia), selendang (shawl-Louisa) dan bawal (Marquesa).

Merupakan rekaan khas pengasasnya, Neelofa, untuk pasaran di kedai dalam talian Zalora, koleksi-koleksi ini ditampilkan dengan pilihan rona-rona indah berasaskan bunga mawar, buah beri dan garapan warna semula jadi.

Menurut Neelofa, koleksi ini turut diperinci dengan kilauan Swarovski dan mutiara yang memberi tambah nilai.

Katanya, kesemua koleksi ini hadir dengan pelbagai warna lembut yang menepati cita rasa wanita masa kini dengan penggunaan fabrik seperti heavy chiffon, yang memberi ilusi romantik dan elegan.

“Fabrik ini dipilih kerana sifatnya yang lembut, nipis dan cantik, lebih-lebih lagi jika hendak digayakan ke majlis-majlis.

“Bagi ketiga-tiga gaya hijab yang dilancarkan, Claudia dan Marquesa menampilkan lipatan seni bina Rome untuk perincian moden.

“Sementara itu, Louisa pula dihiasi dengan taburan pelbagai warna mutiara dan kristal Swarovski yang memantulkan cahaya di pantai,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun ringkas, kesemua koleksi ini mempamerkan eksklusif rekaan tanpa perincian yang terlalu sarat serta keselesaan dan rekaan memenuhi syariat.