Muhammad Hariz Zakwan

Itu falsafah pemilik jenama Ainahariz, Muhammad Hariz Zakwan, 28, yang sinonim dengan rekaan penuh dramatik tetapi masih mengekalkan konsep bersesuaian dengan wanita Muslimah yang ingin tampil menawan dan menyerlah.

Bermula dengan rekaan kasual, jenama Ainahariz melangkah setapak lagi dengan penghasilan koleksi ke majlis formal dengan tiga pilihan potongan, iaitu Luxe Kebaya, Mastani Kurung dan Anzalna Luxe.

Menggunakan fabrik como crepe dengan gabungan kain net lembut, koleksi kali ini dilihat memfokuskan potongan yang memberi peluang golongan wanita pelbagai bentuk tubuh.

Selain warna pastel seperti merah jambu kusam, kelabu lembut dan krim, koleksi itu turut menampilkan warna-warna menonjol seperti biru gelap dan maroon.

Luxe Kebaya yang diinspirasikan gabungan potongan kebaya klasik dan peplum di bahagian belakang selain ditambah tali di bahagian dada, menjadikan potongan berkenaan kelihatan moden dan mempunyai sedikit suntikan dress berunsur budaya Inggeris.

Uniknya rekaan berkenaan dibuat dua helai, iaitu baju yang diperincikan dengan renda bermanik motif bunga 3D dan kain pula diberi potongan duyung di bahagian dalam serta dilitupi skirt net di bahagian luar, sekali gus memberi kesan bak busana seorang puteri.

Bagi yang menggemari potongan ala Bolywood dress, Mastani Kurung yang direka dengan terjemahan kurung Pahang, sangat menepati keinginan wanita yang ingin tampil glamor apabila potongan itu diolah sedikit kembang di bahagian pinggang ke bawah.

Penggunaan net lembut di bahagian atas serta di bahagian kain, membolehkan si pemakai tampak tinggi apabila sedikit perincian renda bermanik sama rona ditambah pada bahagian pinggang dan hujung lengan.

Mengambil inspirasi daripada busana yang disarung pelakon Anzalna ketika majlis pernikahannya, koleksi Anzalna Luxe direka seakan potongan baju kurung moden, bezanya panjang baju dilabuhkan sehingga paras betis, manakala bahagian belakang dibelah bagi memudahkan pergerakan.

Cantik bagi wanita bertubuh kurus, potongan ini diberi perincian manik motif bunga 3D di hujung lengan dan hujung baju, manakala kain dibuat potongan kurung moden biasa yang juga dilapisi net lembut bagi menyerlahkan penampilan.

Kata Muhammad Hariz, dia mengambil pendekatan memilih koleksi yang memfokuskan dua helaian, iaitu baju dan kain kerana potongan berkenaan lebih digemari golongan wanita Muslimah yang mahu tampil selesa.

“Lazimnya potongan dress lebih membentuk bahagian tubuh tertentu, jadi penyelesaian kepada masalah itu dengan membuat potongan asing antara baju dan kain, malah potongan seperti ini memudahkan mereka menyuaipadankan busana dengan material lain.

“Selain itu, saya juga menggunakan teknik horse hair, iaitu membolehkan bahagian bawah fabrik net itu menjadi beralun dan nampak jatuh terletak apabila digabungkan dengan fabrik como crepe yang berat, sekali gus memberikan penampilan yang sungguh romantis,” jelasnya.

Koleksi Ainahariz didatangkan saiz XS hingga L dan boleh didapati di butik Modvier dan melalui Instagram @Ainahariz.