Terkenal dengan pilihan yang pelbagai untuk setiap wanita daripada rangkaian pakaian sehingga ke produk kecantikan, kasut, aksesori, dan banyak lagi yang mana tawaran kategori baharu ini pastinya mampu mengukuhkan lagi posisi FV sebagai laman web yang menawarkan pengalaman membeli belah terbaik bukan sahaja di dalam negara bahkan sehingga ke pasaran Asia.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif FV, Vivy Yusof, FV ingin menjadi sebahagian daripada peristiwa penting dalam kehidupan setiap wanita sama ada pada hari pertama di kolej, temu janji pertama, hari pertama bekerja, saat menimang cahaya mata atau peristiwa-peristiwa penting yang lain.

“FV mahu melengkapi setiap tarikh penting bagi wanita dan kami sendiri mahu mereka boleh membeli-belah di mana sahaja walaupun untuk membeli sehelai gaun pengantin.

“Dalam era di mana setiap perkara yang diingini boleh dilakukan hanya menggunakan hujung jari, dengan adanya koleksi FashionValet Bridal, bakal mempelai boleh mengelakkan kesusahan seperti memandu dari satu butik ke butik yang lain, ditambah pula dengan stres dalam membahagikan masa antara menguruskan persediaan perkahwinan seperti katering, jemputan, menempah lokasi majlis dan pelbagai urusan lain.

“Jadi, kami mahu memudahkan bakal pengantin dan paling utama, koleksi-koleksi yang ditawarkan direka mengikut konsep terkini dengan harga yang amat berpatutan bermula dari RM1,800 sehingga RM5,000,” katanya dalam majlis pelancaran FashionValet Bridal di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

Ujarnya, setiap rekaan busana pengantin ini direka secara eksklusif untuk FV oleh jenama-jenama fesyen ternama di Malaysia termasuklah Mimpikita, PU3, Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Khoon Hooi, S. Baharim, Syomirizwa Gupta dan NH by Nurita Harith.

Pereka-pereka tempatan lain seperti Alia Bastamam dan Hatta Dolmat turut sama menampilkan rekaan eksklusif mereka di portal ini bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal mempelai yang mengingini busana lengkap yang moden dan kontemporari.

Katanya, kategori baharu ini bukan hanya untuk satu projek sahaja, malahan ia akan kekal sebagai kategori tetap dan lebih banyak lagi busana pengantin hasil rekaan pereka-pereka fesyen lain bakal menyusul kerana mahu memberi peluang kepada pereka tempatan menunjukkan hasil karya mereka di platform digital.

“Koleksi busana pengantin sudah lama bermain pada fikiran saya untuk saya perkenalkan di FV dan saya cukup gembira akhirnya impian tersebut menjadi kenyataan. Saya berharap dengan adanya FashionValet Bridal, ianya boleh meringankan sedikit beban bakal pengantin dalam mendapatkan busana yang paling sempurna.

“Saya mahukan FV menjadi satu-satunya pusat beli-belah dalam talian di mana para wanita boleh membeli apa jua barangan dari hujung rambut ke hujung kaki tidak kira apa jua majlis dan acara,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, pelanggan yang membuat pembelian akan menerima set perkahwinan khas. Didatangkan di dalam sebuah kotak eksklusif, kandungannya bukan shaja mengandungi busana perkahwinan yang dipilih mereka malahan, barangan persediaan saat akhir seperti topeng mata, selipar rumah yang cukup lembut, senarai semak, jubah sutera dan beg solek pastinya melengkapi hari perkahwinan mereka nanti.