Jika diimbas pada 2017, iaitu tahun yang ‘meriah’ dengan kebanjiran pelbagai rekaan fesyen antaranya baju-T statement yang menjadi kegilaan pengikut fesyen walaupun pada awal pemakaian baju tersebut yang dipakai oleh selebriti cantik, Neelofa pada sebuah penganjuran anugerah hiburan dikecam ramai pihak hasil ilham pereka terkenal, Fiziwoo.

Hanya beberapa hari sahaja menerima kecaman, baju ini mula menjadi gaya selebriti dan hijabista tempatan dari pelbagai jenama dan pereka dengan penggunaan slogan menarik, dipadankan pula dengan variasi penampilan wanita tidak bertudung hingga ke gaya wanita bertudung.

Selain itu, pakaian tidur seperti pijama juga dilihat menjadi trend tahun yang sama apabila ramai pereka dan jenama antarabangsa mengolah rekaan pakaian tidur yang sesuai digayakan sebagai pakaian harian mahu pun ke majlis glamor.

Paling ketara ialah trend yang digelar logo mania iaitu kebanyakan pengikut fesyen gemar dengan koleksi busana mahu pun aksesori yang memperlihat jenama pada setiap penampilan yang digayakan.

Bermula dari tas tangan mewah, kasut dan busana sehingga ke tudung, kebanyakan pereka dan pemilik jenama mempamerkan logo mereka dengan besar dan jelas bagi memberi kepuasan kepada pemakai sama ada jenama tempatan mahupun antarabangsa.

Di samping beberapa trend di atas, antara trend lain seperti penggunaan material juraian (fringe) sama ada pada tas tangan mahupun busana serta pemakaian dalaman menjadi pakaian luaran seperti baju spageti, baju renda dan satin yang digayakan dengan baju-T atau kemeja.

Mengintai pula persembahan fesyen bagi tahun ini, pemilik jenama Fiziwoo, Mohd. Hafizi Radzi Woo, berkata, walaupun jenama ini kurang mengikuti trend yang muncul sama ada di pentas tempatan atau antarabangsa saban tahun kerana lebih memilih untuk menghasilkan rekaan yang lebih matang, dia tidak menafikan trend harus dicipta dan diikuti.

Fiziwoo yang popular kerana sering menjadi pencetus trend, mengakui ada beberapa jangkaan trend bakal menjadi tumpuan pada tahun ini termasuk penghasilan baju-T statement yang diyakini masih mendapat tempat pada hati peminat fesyen serta pemilihan warna-warna berasaskan batu permata seperti hijau zamrud, merah delima dan biru nilam.

“Untuk Fiziwoo sendiri, kita tidak mempunyai potongan atau rekaan tumpuan pada tahun ini kerana mahu menghasilkan sesuatu yang baharu dan boleh dipakai, namun kita melihat tema pemakaian warna sedondon yang dijadikan tumpuan.

“Kita juga melihat Fiziwoo tidak mustahil akan berkolaborasi dengan selebriti dan jenama-jenama besar dalam menghasilkan rekaan bagi memberi sedikit elemen kejutan buat penggemar jenama ini,” jelasnya yang beranggapan sesuatu potongan rekaan adalah subjektif dan sukar untuk dianggap sebuah trend yang perlu diikuti atau dicetuskan.

Trend kolaborasi antara jenama-jenama mewah, jenama jalanan dan pereka fesyen dilihat antara trend dalam industri fesyen antarabangsa terkini seperti yang dilakukan Louis Vuitton dan Supreme, Adidas dan Alexander Wang, Christophe Lemaire dan Uniqlo, Coach dan Selena Gomez serta H&M dan Karl Lagerfeld.

Kolaborasi sebegini dilihat bukan sahaja menguntungkan kedua-dua pihak, malah pelanggan juga memperoleh manfaat apabila koleksi yang dihasilkan mampu dimiliki.

Bagi pengusaha jenama dalam talian popular Leeyana Rahman, Nur Liyana Abdul Rahman memberi pandangan berbeza apabila menyifatkan warna tidak memainkan elemen penting dalam menghasilkan trend fesyen.

Ini kerana dia berpandangan, trend warna tertentu hanya sekadar tekaan semata-mata dan apa yang lebih penting adalah rekaan dan potongan yang ditampilkan setiap jenama itu.

“Trend rekaan busana two pieces (dua helai) dan potongan menonjolkan kesan ramping mungkin menjadi antara rekaan tumpuan tahun ini dan untuk jenama Leeyana Rahman, saya tetap akan memfokuskan rekaan jubah yang sentiasa menjadi busana yang tak lapuk dek hujan dan zaman.

“Saya menjangkakan masyarakat masih melihat trend membeli dalam talian adalah yang paling mudah dan relevan sehingga kini dan sebagai pengusaha yang menggunakan platform itu, kita akan menyediakan rekaan yang terkini serta mengekalkan kualiti terbaik,” ujarnya memberitahu jenama keluarannya akan menyediakan 50 rekaan berbeza potongan untuk koleksi hari raya kelak.