Tidak ketinggalan bagi SC by Sofea Clozets yang sekali lagi mempertaruh fabrik sari untuk koleksi baju kurungnya sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Fabrik yang sinonim dengan corak dan sulaman benang emas itu menjadikan pemakai kelihatan elegan dan menawan.

Pengasasnya, Nurkhairiyah Noorhisham, 30, memilih untuk menggunakan material tersebut dalam setiap pakaian bagi menawarkan perbezaan berbusana kepada wanita dan kanak-kanak yang mahukan kelainan.

“Sebagai pencinta sari, fabrik ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Jenis kain yang pelbagai, dengan corak, sulaman dan manik yang digunakan, ia kelihatan begitu eksklusif malah kilauannya juga memberi elemen mewah.

“Penggunaan fabrik sari pada baju kurung dan jubah bukan sahaja cantik tetapi menyerlahkan lagi ciri feminin.

“Dalam kesopanan berpakaian tradisional dan menutup aurat, kami yakin pemakai dapat bergaya anggun,” katanya.

Selain baju kurung dan jubah untuk dewasa, pakaian ini juga boleh didapati dalam saiz kanak-kanak.

Pada masa sama, SC by Sofea Clozets menyediakan koleksi lain seperti kurung moden dan kurung Kedah.

Antara koleksi yang dipertaruh adalah Peplum Ixia iaitu gabungan kurung rekaan moden peplum dengan fabrik satin dan diperindah dengan sari di bahagian tangan. Melengkapkan kurung peplum ini, kain satin kipas belakang sebagai padanan.

Mengekalkan busana tradisional, kurung Melur yang menggunakan fabrik daripada sari sutera ini dilengkapkan lagi dengan perincian sari di bahagian tangan, hujung baju dan kain.

Tersedia untuk saiz dewasa XS hingga XL, keistimewaan kurung ini terletak pada kain dengan potongan duyung.

Jubah Petunia pula boleh didapati dalam saiz dewasa dan kanak-kanak, yang digarap sopan dengan potongan kembang payung.

Koleksi Jubah Akasia yang merupakan jubah potongan abaya, sesuai buat mereka yang senang dengan busana ringkas.

Ditawarkan pada harga serendah RM89 hingga RM219 sepasang, boleh didapati secara dalam talian sama ada melalui Facebook atau Instagram.