Rata-rata mereka menyifatkan veil atau layah yang dipakai pelakon berusia 25 tahun itu keterlaluan dan tidak sesuai digayakan kerana beberapa alasan.

Antaranya, fabrik kelihatan terlalu keras, berat, melindungi wajahnya serta terlalu panjang hingga mengganggu pergerakan pengantin untuk bergerak, selain menghalang penglihatan tetamu untuk melihat wajahnya.

Tidak cukup dengan itu, kritikan demi kritikan dilemparkan kepada pereka busana pengantin pada malam itu iaitu Datuk Rizalman Ibrahim yang seolah-olah mahu mencetus trend pemakaian layah sebegitu.

Namun lain pula jadinya, apabila dikritik hebat termasuk penggunaan lagu iringan ketika majlis berkenaan yang dikatakan tidak bercirikan Islam.

Begitu pun, bagi pereka yang telah bertapak lebih 25 tahun dalam industri fesyen, kritikan yang dilemparkan tidak sedikit pun memberi kesan, malah beliau dengan yakin, percaya pemakaian layah sebegitu bakal menjadi trend dan pilihan pengantin pada tahun 2018.

Menurut Rizalman, beliau berbesar hati apabila didatangi Izara Aishah dengan hasrat untuk memakai persalinan yang direkanya memandangkan beliau mengagumi personaliti dan keperibadian pelakon cantik itu.

“Izara Aishah seorang yang sangat merendah diri, dia cantik tetapi tidak ‘perasan’ kecantikan yang dia ada.

“Sikap itu membuatkan saya kagum padanya dan memang mengimpikan satu persalinan yang istimewa buatnya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sesuai dengan darah kacukan Melayu dan Pakistan yang diwarisi pelakon itu, seluruh penampilan Izara Aishah pada malam pernikahan direka seperti jelmaan seorang puteri dari Jaipur, India, yang menggabungkan konsep klasik masa depan (future classic) yang turut mendapat suntikan kemelayuan.

Sudah pasti semua tertumpu pada pemakaian layah Izara Aishah yang dilihat agak pelik dan unik, namun bagi Rizalman, layah yang diilhamkan daripada pemakaian kerudung wanita Melayu ketika zaman pemerintahan Parameswara itu dibuat dengan sepenuh jiwa.

“Mungkin ramai tidak tahu, ketika pada awal Islam menapak di Melaka, wanita memakai sejenis kain di atas kepala yang biasanya diperbuat daripada songket sebagai satu cara menutup kepala, jadi saya mengambil inspirasi daripada budaya itu.

“Cuma saya tidak menggunakan fabrik songket kerana mahu mencipta kelainan buat pengantin di zaman ini dengan menggunakan fabrik renda.

“Malah, layah itu dipakai sedikit ke depan bagi menutup wajah Izara Aishah kerana wanita zaman dahulu mereka sangat mementingkan kesopanan bila berdepan dengan orang ramai apatah lagi pada majlis seperti itu, seolah-olah wajah yang cantik itu sangat eksklusif untuk dilihat,” jelasnya.

Ternyata fokus pada majlis pernikahan itu tidak hanya tertumpu pada layah sahaja, malah persalinan yang disarungkan wanita itu turut mempunyai keunikan dan ‘sejarah’ di sebalik pembuatannya yang sangat rumit serta penuh dramatik buat Rizalman.

Ujar pereka itu, penampilan Izara Aishah pada majlis pernikahan banyak bersifat serampang dua mata, kerana selain mahu tampil cantik dan menjadi fenomena, ia juga pada masa sama demi memartabatkan seni warisan pemakaian tradisional.

Mengakui Izara Aishah tidak membuat sebarang permintaan untuk persalinannya, penampilan yang ditonjolkan malam itu adalah 100 peratus idea Rizalman, yang mana busana berkenaan menggunakan tiga jenis fabrik iaitu sutera gauze, nylon tulle dan organza serta tidak menggunakan konsep panel.

“Busana putih mutiara malam itu adalah potongan baju kurung Riau Pahang yang biasanya ada pesak dan kekek, tetapi saya ubah kepada penggunaan godet (potongan kain segi tiga) supaya bahagian bawah lengan tidak menggeleber. Bahagian leher pula, saya buat gabungan di antara crew neck (seperti leher bulat baju T) dan turtle neck (menutup leher).

“Leher seperti ini sangat susah untuk dibuat kerana tiada jahitan di kawasan itu dan sesuai untuk leher jinjang Izara. Saya yakin potongan leher seperti ini akan menjadi ikutan, malah taburan bunga di bahagian bawah baju dan kain sangat sukar untuk dibuat dan ketelitiannya sukar dilihat pada mata kasar.

“Apa yang jelas di sini, tidak perlu terdedah atau tampil seksi sana sini untuk cantik dan mendapat perhatian, apa yang penting adalah idea yang tepat dan sesuai dengan penampilan seseorang itu,” ujarnya yang mahu masyarakat negara ini lebih bijak menilai sesuatu fesyen.