Diakui terlalu banyak pilihan kemeja-T di pasaran, namun jenama Dribblack tampil dengan kelainan apabila memfokuskan motif poligon, iaitu gabungan corak antara segi tiga, segi empat dan segi lapan yang mempunyai sisi sama panjang dan sudut kedalaman juga berukuran sama.

Uniknya, motif yang diangkat jenama itu menggabungkan fesyen dan seni karya anak tempatan bernama Syed Ameerul Shakir Syed Mohdar Al-Habshee, 26, ataupun lebih dikenali di media sosial sebagai Dribblack.

Syed Ameerul Shakir yang juga pemilik jenama itu memberitahu, sebelum ini dia hanya memasarkan karya-karyanya di laman sosial dengan memfokuskan perkhidmatan melukis potret, namun sekitar 2013 mula mereka kemeja-T sendiri.

Katanya, memberi nafas baharu dalam pencetakan kemeja-T, Dribblack menonjolkan motif fauna, flora, dan abstrak dengan mencampurkan elemen poligon kepada motif-motif tersebut.

“Membawa inspirasi daripada alam yang ada disekeliling, pemilihan warna serta corak juga berkisar pada elemen yang sama, malah apa yang menjadikan rekaan jenama ini berbeza adalah kita menjadi antara jenama pertama yang mengambil motif poligon dalam penghasilan pakaian aktif.

“Motif yang ringkas dan moden di bahagian depan baju, membolehkan gaya urban dicipta dengan padanan seluar denim mahupun khaki serta sedikit aksesori lain seperti topi dan kasut yang bersesuaian,” katanya.

Akuinya, sejak rekaan dipasarkan empat tahun lalu, lebih 30 rekaan telah dikeluarkan dengan memfokuskan perincian motif di bahagian dada dan lengan dengan penggunaan fabrik mikro fiber poliester yang menyerap peluh, ringan, tahan lasak serta warna tahan lama walaupun dicuci berulang.

Menggunakan warna-warna latar seperti hitam, biru gelap dan putih dengan gabungan motif yang lebih terang, pemakaian kemeja-T ini tampak unik selain mencerminkan jiwa muda generasi muda.

“Kita juga akan mengeluarkan koleksi lain dengan menggunakan fabrik baharu iaitu kapas bagi memberi pilihan kepada pelanggan,” jelasnya.

Koleksi Dribblack boleh didapati melalui pembelian dalam talian di laman Instagram dan Facebook di @dribblackstore dengan harga bermula serendah RM30 hingga RM99.