Namun, ruangan Trend minggu ini menampilkan kelainan buat golongan muda yang mungkin melihat batik pada sisi berlainan.

Kemeja batik oleh Joe Hann Kuala Lumpur ini mampu mengubah persepsi kaum lelaki terhadap pemakaian batik.

Kemeja berlengan pendek dengan material kapas yang dihasilkan pemiliknya, Azrul Abdul Kadir, 32, menampilkan kelainan yang boleh menjadi trend pemakaian baju kemeja bercorak.

Mula dipasarkan pada tahun lalu, kemeja batik kapas Joe Hann Kuala Lumpur mempunyai motif corak seperti awan larat dan batik Jawa.

Pemilihan warna pula lebih menjurus kepada tona yang dekat dengan alam semula jadi seperti coklat, hitam, putih dan oren seiras dengan warna pada kain batik sarung mahupun lukis.

Lebih kepada pemakaian kasual, baju batik Joe Hann Kuala Lumpur dijual pada harga RM89 sehelai dengan pasaran di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bukan sahaja kemeja lengan pendek, jenama keluaran anak muda itu turut menampilkan baju seperti kurta mini yang menggunakan corak batik berkain kapas.

Potongan baju batik ini juga mengikut gaya slim fit yang menyerlahkan bentuk badan si jejaka. Sesuai digayakan pelbagai acara seperti majlis kahwin, majlis makan malam, bersantai bersama teman, malah kepada yang lebih berani, boleh mengenakannya untuk ke pejabat.

“Boleh dikatakan baju batik kasual ini lebih kepada trend hipster bagi menarik minat golongan muda meminati batik,” katanya.

Bagi padanan gaya kasual, baju batik ini sesuai dikenakan dengan seluar jean atau slack.

Malah, untuk kelainan, si pemakai boleh menggayakannya dengan seluar berkain kapas atau kain pelikat sarung untuk bersantai di rumah atau ketika bercuti di kampung halaman.

Dalam pada itu, katanya, Joe Hann Kuala Lumpur akan menghasilkan kemeja yang sama, namun dengan corak serta warna berbeza seperti menggunakan motif batik kontemporari.

Bagi yang berminat mendapatkan baju batik dengan gaya trendy ini, boleh melawat laman sosial Facebook Joe Hann Kuala Lumpur, Instagram joehann_kl atau hubungi 019-3072824. – FAIZAH IZZANI ZAKARIA