Para model mengayakan busana Batik dari Koleksi Karyaneka ketika Program liputan media sempena Warna Warni Aidilfitri 2017 Karangkraf Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur 

Tidak perlu perincian terlalu sarat atau rekaan terlalu pelik, busana seperti kebarung direka telah sedia cantik potongannya. Malah, jika dilengkapkan dengan aksesori seperti rantai leher dan gelang kaki, penampilan pasti mencuri tumpuan.

Kebarung merupakan gabungan baju kurung dan kebaya yang mempunyai potongan sedikit mengikut badan di bahagian pinggang. Panjang bajunya labuh sehingga ke paras betis dengan bentuk V di bahagian leher tanpa butang serta sangat sesuai digayakan pada majlis-majlis keraian.

Menyedari potongan kebarung masih mendapat permintaan, jenama Jafiqa Couture yang sinonim dengan rekaan kebarung, tidak melepaskan peluang menghasilkan busana tradisi itu pada setiap tahun.

Popular dengan koleksi batik, jenama itu mengetengahkan seleksi kebarung batik dengan pilihan motif gabungan flora, etnik, geometri dan abstrak yang menggunakan teknik ikat dan celup serta batik blok.

Memilih fabrik kasa rubiah sebagai material utama, rekaan Jafiqa Couture tidak mengecewakan apabila menampilkan warna-warna padanan gelap dan terang seperti coklat, kelabu, hijau gelap, jingga, kuning, merah gelap dan biru.

Penggunaan fabrik kasa rubiah dilihat amat sesuai dengan potongan kebarung yang membolehkan rekaan itu cantik terletak pada badan selain kainnya yang lembut dan tidak panas membuatkan pemakai berasa selesa walaupun ketika cuaca panas.

Didatangkan dengan satu saiz sahaja namun muat dipakai untuk semua saiz tubuh, koleksi ini direka dengan mengekalkan potongan asli iaitu mempunyai pesak di kedua-dua belah bawah lengan.

Selain tiada sebarang perincian seperti manik atau sulam, kebarung tetap anggun digayakan dengan padanan seluar palazo serta kain daripada fabrik campuran lycra.

Menawarkan harga RM100 hingga RM499, koleksi kebarung itu boleh didapatkan di butik Karyaneka di Kuala Lumpur.