Koleksi Life mewakili rencana hidup yang tidak dijangka, namun tetap indah dan bermain dengan pelbagai emosi sepanjang perjalanan hidup kita, turut mencerminkan versatil dan tidak makan dek zaman, ujar Sabrina.

“Kadang-kadang kehidupan boleh menjadi sangat mudah tetapi ada masa ia boleh menjadi sangat rumit. Walau apa pun, melalui cabaran dan dugaan yang di bawa oleh kehidupan, ada keindahan di dalamnya jika kita hanya perlu menerimanya secara positif, mengetahui bahawa segalanya sudah tertulis dan ditakdirkan,” terangnya yang kemudian dizahirkan pada rekaannya.

Tidak lari dari ciri utama Aere yang gemar bermain dengan warna-warna lembut dan sekali-sekala digabungkan dengan warna natural yang sedikit garang, Aere memberi pelbagai pilihan untuk penggemar rekaan yang sederhana namun memberi perhatian kepada perincian yang melahirkan imej sofistikated.

Meneruskan langkah tidak ortodoks Aere yang gemar melancarkan setiap rekaan berasingan, koleksi Life ini mempunyai reka bentuk yang sempurna untuk Aidilfitri dan boleh dipakai sepanjang tahun.

Menurut Sabrina, idea untuk menghasilkan rekaan secara berasingan bagi memberi ruang kreativiti buat penggemar Aere menyuai padan baju dan kain bagi menghasil identiti sendiri.

“Saya sendiri adalah penggemar konsep suai padan. Saya gemar menghasilkan gaya sendiri dari memakai sesuatu yang sudah dalam set yang ditentukan awal. Ia memberi kepuasan peribadi,” ujarnya.

Jenama yang memasuki tahun ketiga di pasaran itu tahun ini turut mengembangkan lagi rekaannya dengan koleksi untuk lelaki dan kanak-kanak yang dinamakan Aeremen dan Aerekids, tepat untuk mereka yang mahukan gaya sedondon di hari raya.

Koleksi Life bermain dengan tekstur kain, manik-manik, jatuhan kain, lipatan dan renda dalam pelbagai warna, sesuatu yang baru buat peminat Aere. Lanjutan daripada koleksi Aeremen juga merupakan pertumbuhan baik buat Aere selain Aerekids yang direka khas buat kanak-kanak lelaki dan perempuan melengkap gaya dewasa.

Koleksi Life ini mempersembahkan 54 jenis rekaan yang boleh diubah suai dengan pelbagai gaya, dari blaus, kain, gaun, skirt dan seluar manakala saiznya dari XS hingga ke XXL.

Aeremen pula mempunyai 10 rekaan bentuk baju dan seluar dalam lebih 24 variasi warna dan Aerekids pula mempunyai lima reka bentuk dalam 15 variasi warna untuk umur setahun hingga lapan tahun.

Harga bermula dari RM139.90 hingga RM279.90 dan kesemua koleksi boleh didapati menerusi destinasi membeli-belah dalam talian terkemuka di Malaysia www.fashionvalet.com/aere dan juga boleh didapati di butik FashionValet di Bangsar Village II dan Pavillion.