Mengambil aura wanita itu, pereka yang sinonim dengan busana perkahwinan Muslimah, Eja Shahril, membawa semangat dan keperibadian Tun Teja dalam koleksi yang dipamerkan di Minggu Fesyen Couture New York pada 8 September lalu.

Berlangsung di The Crown Plaza Times Square New York, pentas peragaan kedua terbesar itu menyaksikan pereka itu menjadi pereka Muslimah pertama yang berpeluang mempamerkan koleksi di pentas berkenaan.

Sinonim dengan potongan buat Muslimah, pun begitu pada pentas berkenaan, Eja Shahril tidak menampilkan persalinan yang terlalu berat dan sarat dengan mesej keagamaan, namun cukup dengan potongan longgar dan menutup aurat serta menepati kehendak pasaran di luar negara.

Menyaksikan 12 persalinan dipentaskan, rekaan pereka berasal dari Pahang itu fokus kepada penggunaan fabrik chifon, sutera Thailand dan jacquad yang memberi kesan siluet yang cantik dan terletak pada setiap persalinan.

“Kita menggunakan tiga jenis fabrik dan jaquard antara yang kita fokuskan kerana di Malaysia belum ramai yang menggunakan material itu untuk persalinan perkahwinan.

“Dari segi pemilihan warna pula, saya pilih warna krim dan ungu dusty kerana mahu lari daripada warna kebiasaan iaitu putih selain trend pengantin ketika ini yang gemarkan warna gelap,” katanya.

Memilih potongan dres lurus di bahagian bawah, kesemua persalinan yang diperaga tidak mempunyai manik atau renda bermanik sarat seperti kebiasaan, tetapi menekankan terhadap potongan yang sederhana namun anggun disarungkan pada tubuh.

Hampir kesemua potongan menekan teknik ropol atau balutan selain gaya potongan puteri yang sedikit kembang di bahagian pinggang ke bawah bagi menyerlahkan penampilan pengantin.

Menurut Eja Shahril, peluang berada di pentas antarabangsa itu dengan membawa konsep busana Muslimah amat dihargai, malah ketika permulaan dia sangat berasa gugup, namun hilang sebaik mendapat tepukan apabila rekaan diperaga.

“Saya tahu bukan mudah membawa imej Islam di negara ini, namun melihat kepada sokongan mereka, saya yakin dengan rekaan seperti ini pereka muslimah mampu meneroka pasaran negara ini,” jelasnya.

Program anjuran kumpulan Peniagawati itu turut menampilkan empat lagi pereka fesyen antaranya Sara Jamaluddin (Sara J) dan Erma Fatima (Mak Cun). - Gambar IHSAN HAIRIE RAHIM/ RAZZAQ RAZALI